Legenda sepak takraw negara Adnan Saidin meninggal dunia
Adie Sufian Zulkefli
Mei 15, 2023 10:00 MYT
Mei 15, 2023 10:00 MYT
ALOR SETAR: Raja Libas, Adnan Saidin meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, akibat masalah kesihatan pada pagi Isnin.
Pemergian Allahyarham disahkan anak ketiganya, Mohd Faizal Adnan yang kini menjadi anggota polis melalui akaun Facebooknya.
"Assalammualaikum untuk makluman bapa saya Adnan Saidin baru sahaja menghembuskan nafas yang terakhir selepas Subuh tadi, mohon sedekah al-Fatihah pada arwah bapa saya.
“Semoga Allah ampunkan segala dosa dan terima amalannya, amin," katanya yang juga bekas perejam negara mewakili Kedah dan Negeri Sembilan.
Perkara sama turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Ahmad Shukri Mat Akhir.
Difahamkan pada Ahad, Allahyarham mengalami pendarahan di dalam kepalanya.
Pada minggu lalu pula, Allahyarham dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di sini akibat sakit jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru.
Astro AWANI difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan selepas Zohor.
Sebelum itu, solat jenazah akan diadakan di Surau Kampung Padang, Batu 2 Tandop, di sini.
Sepanjang bergiat aktif di gelanggang, antara pencapaian terbaik Allahyarham Adnan bersama pasukan sepak takraw Malaysia adalah meraih pingat emas regu berpasukan Sukan SEA Jakarta 1979, Manila (1981) dan Singapura (1983) selain muncul sebagai juara Kejohanan Asia 1980 di Kuala Lumpur serta Piala Raja Thailand 1985 di Bangkok.
Allahyarham merupakan bekas ketua pasukan negara bermula 1980 hingga 1986 dan bersama pasukan Kedah pula dari1976 hingga 1992.
Bapa kepada enam anak ini terkenal dengan libas pari di posisi apit kiri juga pernah menjulang Piala Emas Khir Johari dalam Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan pada tahun 1981, 1985, 1986 dan 1987.
Pada zaman kegemilangannya, Adnan kerap bergandingan dalam regu negara dan Kedah bersama Shukri Ismail (apit kanan atau pengumpan) dan Azman Ismail (tekong).