Legenda mungkin bersama skuad negara pada kejohanan - Presiden BAM

Bernama
Februari 28, 2023 05:13 MYT
Mohamad Norza berkata penubuhan Panel Penasihat Teknikal ABM bertujuan memastikan ketelusan tentang cara BAM dan ABM beroperasi dan memberi mereka saluran yang betul untuk meluahkan pandangan. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tujuh legenda badminton negara, yang menganggotai Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM), kemungkinan akan mengikuti skuad negara pada mana-mana kejohanan dalam masa terdekat.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, bagaimanapun, berkata, buat masa ini, tujuh bekas pemain negara itu tidak boleh campur tangan dalam proses pemilihan pemain.
Panel penasihat itu dibentuk awal bulan ini bagi memberikan input tambahan, nasihat dan panduan strategik kepada Lembaga Pemegang Amanah dan Pengurusan ABM dengan tujuan meningkatkan prestasi pemain itu untuk tempoh jangka panjang.
"Perkataan yang kita gunakan adalah nasihat, jadi ia kekal sebegitu buat masa ini kerana pasukan kejurulatihan ada perancangan sendiri tetapi sepanjang perjalanan mereka akan mendapat nasihat dan input daripada ahli panel.
"Katakanlah (jika) kita bawa satu atau dua daripada mereka (panel) ke Piala Sudirman, misalnya, untuk memberi input tambahan kepada pasukan dan jurulatih, maka kita akan lakukan itu tetapi dari segi pemilihan pemain, belum lagi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama panel tersebut di sini, semalam.
Selain memberi nasihat kepada pasukan kebangsaan, Mohamad Norza berkata, beliau mungkin mempertimbangkan untuk melantik barisan legenda berkenaan sebagai pengurus pasukan dalam mana-mana kejohanan, namun tertakluk kepada jadual dan komitmen mereka.
Kesemua legenda berkenaan berkhidmat dalam panel berkenaan secara pro-bono (tanpa bayaran).
Tujuh legenda berkenaan dalam panel tersebut ialah Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong, Datuk Seri Jalani Sidek, Datuk Cheah Soon Kit, Roslin Hashim dan Ong Ewe Hock.
Selain turut dianggotai Naib Presiden BAM, Datuk Teoh Teng Chor dan Datuk Ng Chin Chai, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan bekas Ketua Pengarah MSN dan Insttitut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.
Chong Wei dan Jalani tidak menghadiri mesyuarat tersebut kerana mempunyai urusan peribadi di luar negara.
Mohamad Norza berkata, kehadiran barisan legenda sebagai mentor boleh membantu pemain negara lebih berkeyakinan diri dan meluahkan apa yang terbuku di hati serta berkongsi sebarang isu yang dihadapi mereka.
"Ini kerana beberapa pemain mungkin takut untuk berkongsi masalah dengan jurulatih sebaiknya lebih selesa untuk berbicara dengan legenda ini," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata, antara topik yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah untuk mencari jalan mendapatkan dua wakil dalam setiap kategori untuk Sukan Olimpik Paris 2024 , melahirkan lebih ramai pemain pelapis dan mengenal pasti bakat di seluruh negara bagi mengukuhkan kelompok pemain.
"Terdapat juga cadangan untuk melihat gaya hidup (pemain) kerana ada yang berbakat tetapi mereka nampaknya tidak cukup 'lapar' untuk benar-benar berjuang bagi meraih kejayaan," katanya.
Beliau berkata penubuhan panel ini adalah untuk memastikan ketelusan tentang cara BAM dan ABM beroperasi dan akhirnya memberikan mereka saluran yang betul untuk meluahkan pandangan mereka dalam usaha meningkatkan prestasi pemain.
"Walaupun panel ini bermesyuarat setiap tiga bulan tetapi ahli panel boleh memberikan input mereka pada bila-bila masa," katanya.
Mohamad Norza juga tidak menolak kemungkinan mereka boleh membawa masuk lebih ramai bekas pemain hebat jika perlu untuk menyertai panel itu pada masa hadapan.
Sementara itu, Ewe Hock menyifatkan hasil mesyuarat pertama itu sebagai positif manakala Soon Kit berkata pertemuan itu adalah platform yang sangat baik untuk berkongsi pandangan, kritikan atau pujian mereka terhadap pemain demi kemajuan badminton negara.
-- BERNAMA
#legenda badminton negara #panel penasihat teknikal #Akademi Badminton Malaysia #Mohamad Norza Zakaria
;