Legenda Jerman masuk hospital

Sinar Harian
Disember 17, 2022 09:20 MYT
Status kecederaannya masih belum diketahui, namun menurut laporan dia bermungkinan mengalami kecederan meniskus dan ligamen. - Foto agensi
KEVIN Kuranyi telah dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan lutut semasa perlawanan Kumpulan A, Northern Bears menentang African Lions di Doha.
Bekas penyerang Jerman berusia 40 tahun itu ketika kejadian mengambil bahagian dalam permainan Piala Legenda FIFA.
Kuranyi beraksi bersama pemain seperti Paulo Wanchope, Oswaldo Sanchez dan Jorge Campos sebelum mengalami kesakitan pada bahagian lutut.
Menurut media Jerman, Kuranyi kemudiannya dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans.
Status kecederaannya masih belum diketahui, namun menurut laporan dia bermungkinan mengalami kecederan meniskus dan ligamen.
Bercakap selepas kejadian itu, Kuranyi berkata: "Saya perasan serta-merta ada sesuatu yang patah di lutut saya. Saya tidak boleh mengulas lebih lanjut buat masa ini."
Penyerang itu memperoleh 52 caps untuk Jerman antara 2003 dan 2008 - beraksi di dua Kejohanan Euro - menjaringkan 19 gol untuk negaranya, selain menikmati kerjaya bersama kelab prolifik VfB Stuttgart, Schalke 04 dan Dynamo Moscow.
Kuranyi antara bekas bintang yang dijemput ke Qatar untuk bermain dalam pertandingan Piala Legenda FIFA sempena Piala Dunia 2022.
Legenda lain yang turut mengambil bahagian termasuk Kaka, Didier Drogba, John Terry, Roberto Carlos dan Francesco Totti. - Sinar Harian
#Kevin Kuranyi #kecederaan lutut #Piala Legenda FIFA #Hospital
;