Legenda bola sepak Pele terima suntikan pertama vaksin COVID-19

Astro Awani
Mac 3, 2021 10:11 MYT
Pele yang merupakan juara Piala Dunia tiga kali tidak mendedahkan lokasi beliau menerima suntikan vaksin berkenaan - Gambar Instagram Pele
BEKAS bintang bola sepak Brazil, Pele menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 pada Selasa.
Pemain bola sepak terkenal berusia 80 tahun itu berkongsi perkara tersebut di saluran media sosialnya dan menyifatkan ia sebagai hari yang tidak dapat dilupakan.
Bagaimanapun, Pele tidak mendedahkan lokasi beliau menerima suntikan vaksin tersebut.
“Hari ini adalah hari yang tidak dapat dilupakan - saya menerima vaksin!
"Pandemik ini belum berakhir.
"Kita mesti menjaga disiplin untuk menyelamatkan nyawa sehingga ramai orang divaksinasi,” kata bekas pemain kelab Santos dan New York Cosmos itu.
Difahamkan sejak pandemik COVID-19 melanda Brazil setahun lalu, beliau tinggal di kediamannya di Guaruja, Sao Paulo.
Dalam entri sama, Pele turut mengingatkan peminatnya agar terus menjaga diri dan kekal di rumah, jika boleh.
“Sekiranya keluar, jangan lupa pelitup muka dan jaga jarak sosial.
"Ini boleh dilakukan jika kita memikirkan orang lain dan saling membantu,” tulisnya lagi.
Setakat ini, sebanyak 257,361 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan di Brazil.
#Brazil #Pele #legenda bola sepak #vaksin #pandemik #pelitup muka #COVID-19 #Piala Dunia #bola sepak
;