Legenda bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha meninggal dunia
Wanna Abd Rahim
November 29, 2022 23:25 MYT
November 29, 2022 23:25 MYT
KOTA BHARU: Legenda penyerang bola sepak Kelantan, Mohd Hashim Mustapha meninggal dunia pada jam 10.26 malam, pada Selasa di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Allahyarham sebelum ini, dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat penyakit kencing manis yang dialaminya.
Menantunya, Nizad Ayub, 34, berkata, mereka sekeluarga amat sedih dengan pemergian mentuanya yang menderita akibat penyakit itu beberapa tahun lalu.
"Kami sekeluarga reda dengan pemergian Papa, walaupun kami bersedih kerana kehilangannya," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Tambah Nizad, mereka sekeluarga juga berada di sisi Arwah Mohd Hashim, ketika beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Untuk rekod, Mohd Hashim, 57, di masukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, pada Jumaat, 26 November, selepas menjalani pembedahan memotong kaki kirinya, bulan lepas.