Legenda bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha masih kritikal - Menantu

Wanna Abd Rahim
November 29, 2022 18:46 MYT
Gambar fail pada Oktober lalu memaparkan Mohd Hashim dikunjungi Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas menjalani pembedahan memotong kaki kirinya akibat penyakit kencing manis. - Fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Legenda pasukan bola sepak Kelantan, Mohd Hashim Mustapha dilaporkan masih lagi berada dalam keadaan kritikal akibat penyakit kencing manis yang dialaminya.
Menurut menantunya yang juga pemain bola sepak Kelantan United, Nizab Ayub, 34, Mohd Hashim yang dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, pada 26 November lalu telah ditidurkan dan masih lagi dalam keadaan kritikal.
"Papa (Mohd Hashim) masih dalam keadaan kritikal. Saya berharap semua dapat mendoakan biar Papa cepat sembuh, semoga diberikan keajaiban dan kesembuhan oleh Allah s.w.t. dan tolong jangan sebarkan berita palsu," katanya ketika ditemui di wad HUSM, tengah hari tadi.
BACA: Tiada lagi kaki emas Hashim Mustapha
Pagi tadi, tular satu berita palsu berhubung pemergian Mohd Hashim di media sosial.
Untuk rekod, Mohd Hashim, 57, telah menjalani pembedahan memotong kaki kirinya, akibat penyakit kencing manis yang dialami sejak beberapa tahun lalu.
#legenda bola sepak Kelantan #penyakit kencing manis #HUSM #Hasjim Mustapha
;