Lee Zii Jia sahkan penyertaan dalam Terbuka Singapura 2022 - SBA
Bernama
Mei 30, 2022 04:20 MYT
Mei 30, 2022 04:20 MYT
SINGAPURA: Jaguh badminton perseorangan lelaki Malaysia Lee Zii Jia akan beraksi dalam kejohanan Terbuka Singapura 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 17 Julai ini di negara seberang tambak itu.
Menurut Persatuan Badminton Singapura (SBA), turut sama bersaing dengan Zii Jia antaranya adalah pemain perseorangan lelaki Indonesia Anthony Sinisuka Ginting dan Jonatan Christie pada kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah AS$370,000 itu.
Terbuka Singapura 2022, acara badminton terbesar dan paling berprestij di Singapura itu kembali dianjurkan selepas berehat selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.
SBA dalam kenyataan malam ini memaklumkan lebih separuh daripada pemain lelaki terbaik dunia telah mendaftar untuk kejohanan itu termasuk pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dan nombor tiga dunia Anders Antonsen, kedua-duanya dari Denmark dan pemain Singapura Loh Kean Yew yang berjaya menembusi senarai 10 pemain terbaik dunia.
"Aksi Zii Jia (pemain nombor lima dunia) khususnya akan menarik untuk ditonton. Pemain berusia 24 tahun itu berada dalam prestasi yang baik, memenangi dua gelaran dan mara ke dua separuh akhir daripada empat kejohanan tahun ini," menurut kenyataan itu.
SBA menekankan Malaysia dan Indonesia juga akan diwakili beregu lelaki terbaik mereka.
Gandingan Malaysia Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi akan menguji ketangkasan mereka menentang pasangan nombor satu dunia dari Indonesia Marcus Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo dan beregu nombor tiga dunia Hendra Setiawan dan Mohammad Ahsan.
"Gideon dan Sukamuljo masih belum mencatat kemenangan tahun ini selepas gandingan itu terlepas beberapa kejohanan berikutan Gideon yang menjalani pembedahan untuk membetulkan masalah buku lali. Selepas memenangi 11 gelaran pada tiga tahun lepas, pasangan itu akan kembali untuk memburu kejuaraan.
"Setiawan yang berpasangan dengan Ahsan pula adalah juara dua kali kejohanan (2013 dan 2018), dengan Setiawan meraih kemenangan ketiga apabila bergandingan dengan Markis Kido pada 2012," menurut SBA.
Menurut persatuan itu, Indonesia adalah negara paling berjaya di Terbuka Singapura apabila memenangi 58 gelaran sejak 1960, diikuti China (53), Malaysia (33) dan Singapura (17).
-- BERNAMA