Lee Zii Jia perlukan pasukan penasihat profesional - James Selvaraj
Astro Arena
Ogos 26, 2022 06:45 MYT
Ogos 26, 2022 06:45 MYT
KEKALAHAN mengejutkan perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia, kepada pemain bukan pilihan dari China, Zhao Jun Peng, dalam pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia BWF di Tokyo pada Khamis mengundang pelbagai persoalan dan kritikan.
Ini selepas pemain berusia 24 tahun itu memilih untuk menarik diri daripada mewakili negara dalam Sukan Komanwel Birmingham bagi menumpukan kepada kejohanan berkenaan.
Bagi pemerhati sukan badminton negara, Datuk James Selvaraj, Zii Jia memerlukan pasukan penasihat yang lebih profesional untuk membantu kariernya.
"Saya fikir dia perlu mencari seorang penasihat profesional untuk menguruskannya.
"Dia memerlukan seseorang untuk menguruskan kepentingannya kerana dia sekurang-kurangnya memiliki lima atau enam tahun lagi untuk bermain badminton dengan baik.
"Dia boleh menjadi juara kerana dia memiliki segala-galanya," katanya
James menambah Zii Jia memerlukan pakar psikologi dalam membantunya mendapatkan prestasi lebih konsisten.
Ini kerana Zii Jia mempunyai segala kirteria yang diperlukan, baik daripada segi fizikal atau teknikal tetapi apa yang diperlukannya ketika ini adalah kekuatan mental.
"Dia perlu membuat penetapan minda. Dia perlu berkata kepada dirinya "saya akan menjadi juara". Itulah perkara paling penting.
"Dengan itu, ia akan tersemat dalam jiwanya. Kemudian dia akan bekerja dengan pakar yang memahami grafnya," katanya lagi.