Lee Zii Jia letak jawatan pemain BAM
Astro Awani
Januari 19, 2022 16:53 MYT
Januari 19, 2022 16:53 MYT
KUALA LUMPUR: Perseorangan utama negara, Lee Zii Jia sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menurut Presiden BAM, Tan Sri Mohd Norza Zakaria, pemain badminton berusia 23 tahun itu berdepan tekanan dan BAM akan mengumumkan keputusan persatuan itu pada Jumaat.
"Dia baru saja memenangi satu gelaran Seluruh England (2020) dan seharusnya dia kekal fokus dan kekal bersama BAM. Namun, dia mengatakan yang dirinya bukan Chong Wei dan tidak boleh tahan tekanan.
"Dia mahu mencapai apa yang dia inginkan dengan cara dia sendiri. Kita hormati pandangan semua orang, namun kita adalah sebuah institusi dan sebab itu saya memanggil mesyuarat Ahli Majlis BAM pada 17 Januari untuk mendengar permasalahan yang kita hadapi ini kerana dia adalah aset utama kita,” ujar Norza.
Sejak beberapa minggu lepas, timbul khabar angin yang mengatakan bahawa pemain nombor tujuh dunia itu akan keluar daripada BAM kerana memerlukan perubahan yang mampu mengembalikan semula rentak terbaiknya sebelum ini.
Spekulasi peletakan jawatannya juga hangat diperkatakan selepas ada dakwaan bahawa Zii Jia bakal menerima tawaran melibatkan penajaan sebanyak RM4 juta bagi membiayai perjalanan profesionalnya, jika meninggalkan BAM.
Pemain nombor tujuh dunia itu sebelum ini melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Kejohanan Seluruh England pada Mac 2021.
Zii Jia, memulakan kempen 2021 dengan berada di suku akhir Terbuka Thailand Yonex sebelum terkandas seawal pusingan pertama di Terbuka Thailand Toyota.
Dia kemudiannya tewas di separuh akhir jelajah dunia akhir BWF.
Zii Jia juga membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan dirinya tewas di tangan pemain China, Chen Long di pusingan 16 terbaik.