Lee Tuck mahu buktikan layak berada dalam skuad Harimau Malaya
Bernama
Jun 12, 2023 19:06 MYT
Jun 12, 2023 19:06 MYT
KUALA TERENGGANU: Pemain naturalisasi Lee Tuck, mahu membuktikan kehadirannya dalam skuad Harimau Malaya, mampu memperkuat pasukan itu.
Pemain kelahiran Halifax, England itu berkata menjadi satu kebanggaan buat dirinya, apabila dapat kembali menyarung jersi skuad kebangsaan selepas kali terakhir pada saingan Piala AFF 2022.
Malah tonggak tengah pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC itu, turut berikrar untuk mempertingkatkan tahap permainan agar dapat menempatkan diri dalam skuad utama, yang akan diturunkan pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Solomon Island dan Papua New Guinea, pada 14 dan 20 Jun ini.
"Baik dan kami semakin baik dan baik. Ia penting untuk kami terus bertambah baik dan pada masa ini kami bermain dengan sangat baik, jadi kami dapat bersedia untuk pasukan kebangsaan dengan lebih baik lagi.
"Namun seperti yang semua tahu, kita ada ramai pemain yang bagus-bagus di sini. Jadi ia sukar untuk menjadi sebahagian daripada skuad dan saya berbesar hati untuk berada di sini. Saya hanya perlu bermain dengan baik dan terpulang lah kepada jurulatih dan ia bukan suatu yang di bawah kawalan saya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Selain itu, Tuck berkata beliau juga berasa teruja dapat kembali beraksi di padang Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), yang pernah menjadi gelanggang utama ketika mewakili kelab Terengganu FC (TFC) suatu ketika dahulu.
"Saya berada di sini agak lama (Kuala Terengganu). Banyak memori bagus di sini dan stadium dan ia menjadi seperti biasa untuk saya bermain di stadium ini, dan tentunya saya gembira yang kami boleh bermain di sini hari ini," katanya.
Sementara itu pemain pertahanan kebangsaan, Corbin Ong berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk bergandingan dengan muka-muka baharu dalam skuad Harimau Malaya.
"Beberapa muka baharu, beberapa orang saya masih belum jumpa lagi. Tetapi ia suatu yang baik untuk satu pasukan kebangsaan. Juga sentiasa teruja untuk bermain di hadapan peminat di Terengganu," katanya.
Seramai 26 pemain skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon, memulakan kem latihan pusat di SSMZA Sabtu lalu bagi perlawanan dengan Solomon Island dan Papua New Guinea.-- BERNAMA