KUALA LUMPUR: Bekas atlet renang para negara Koh Lee Peng pasti tidak dapat melupakan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, apabila berpeluang meraikannya bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Bandar Perda, Pulau Pinang, hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan memaklumkan, Lee Peng sangat bersyukur dan berterima kasih terhadap kunjungan mesra serta sumbangan diberikan Ahmad Faizal, yang turut ditemani isterinya Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Lee Peng merupakan antara bekas atlet negara yang dibantu YAKEB.

Sebelum ini, tular di media sosial dan laporan di media bahawa pemenang tujuh pingat emas dan tiga perak ketika mewakili negara di Sukan Para ASEAN (APG) dari 2001 hingga 2005 itu, terpaksa menjual kantung tisu di kawasan Bukit Bintang, di sini, demi kelangsungan hidup.



Selain Lee Peng, Ahmad Faizal turut menziarahi bekas atlet tinju negara pada tahun 60-an, Boey Su Siong di Simpang Empat, Pulau Pinang.

"Beliau (Boey) kelihatan gembira dan sempat mengimbas nostalgia serta kejayaan sukan tinju yang diceburinya suatu ketika dahulu. Sumbangan turut disampaikan kepada bekas atlet tersebut yang pernah mengharumkan nama negara," menurut kenyataan itu.

Ahmad Faizal turut menzahirkan rasa terharu dan gembira kerana dapat menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama kedua-dua wira sukan negara itu, serta mengharapkan agar perayaan kali ini memberikan kegembiraan kepada mereka berdua.

-- BERNAMA