Lee Chong Wei sudah kembali
Astro Arena
Jun 22, 2015 09:03 MYT
Jun 22, 2015 09:03 MYT
Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berjaya merangkul kejuaraan pertamanya selepas kembali daripada penggantungan untuk dinobat juara Terbuka Amerika Syarikat.
Chong Wei menundukkan wakil Denmark Hans Kristian Vittinghus 22-20, 21-12.
Ketika set pertama, Vittinghus dilihat mampu menang apabila mendahului 19-16 namun Chong Wei menggunakan pengalamannya untuk kekal tenang dan berjaya mengikat Vittinghus 20-20 sebelum memenanginya.
Bermula set kedua, ternyata Chong Wei mula mempamerkan aksi garang untuk mengutip mata tatkala Vittinghus sering kali melakukan beberapa kesilapan.
Walaupun ditentang hebat di set pertama, namun di set kedua Chong Wei nyata terlalu hebat untuk ditandingi wakil Denmark itu.
Kejuaraan ini merupakan antara misi Chong Wei untuk kembali memperbaik kedudukan sekali gus layak beraksi di Olimpik Rio, Brazil tahun hadapan.