Lee Chong Wei juara Terbuka Malaysia
Astro Awani
Januari 20, 2013 18:06 MYT
Januari 20, 2013 18:06 MYT
Pemain nombor satu dunia Lee Chong Wei memahat sejarah baru dalam sukan badminton tanahair apabila merangkul gelaran kesembilan Terbuka Malaysia.
Chong Wei muncul sebagai juara di perlawanan akhir setelah mengalahkan pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro dengan mata 21-7, 21-8.
Jelas Chong Wei, selain sokongan padu peminat, kemahuannya yang begitu tinggi untuk menang mendorong kepada kejayaan bersejarah itu, kali ini.
"Kali ini, sasaran saya memang untuk menang. Jadi saya betul-betul fokus dan mungkin kejayaan hadir kerana ketahanan mental yang cukup baik dan kemahuan untuk menang," kata Chong Wei.
Kemenangan itu membolehkan anak kelahiran Bukit Mertajam Pulau Pinang ini mengatasi rekod lagenda, Wong Peng Soon.
Malah, ia turut membantu pemain berusia 31 tahun itu melengkapkan kejuaraan berganda selepas menjuarai saingan Terbuka Korea, minggu lalu.
Lantas, Chong Wei mengharapkan permulaan cemerlang bagi tahun 2013 menyuntik semangatnya untuk menghadapi kejohanan All England, Mac ini.
"Bukan mudah untuk meraih gelaran berganda Terbuka Korea dan Malaysia. Jadi, saya harap kejayaan ini menambah semangat untuk kejohanan seterusnya nanti."
Bagaimanapun, misi di Birmingham nanti tampak sukar kerana jaguh-jaguh China termasuk seteru Lin Dan menantinya dalam merebut prestij kejohanan.
Keputusan final Terbuka Malaysia
Perseorangan lelaki: Lee Chong Wei (Mas) bt Sony Dwi Kuncoro (Ina) 21-7, 21-8
Perseorangan wanita: Tai Tzu Ying (Tpe) bt Yao Xue (Chn) 21-17, 21-14
Beregu lelaki: Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (Ina) bt Ko Sung Hyun-Lee Yong Dae (Kor) 21-15, 21-13
Beregu wanita: Bao Yixin-Tian Qing (Chn) bt Misaki Matsutomo-Ayak Takahashi (Jpn) 21-16, 21-14
Beregu campuran: Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen (Den) bt Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (Mas) 21-13, 21-18