Ledak 50 gol, Sarri label Ronaldo luar biasa

Astro Arena
Julai 21, 2020 10:57 MYT
Cristiano Ronaldo menjaringkan gol pertama untuk pasukannya dalam perlawanan EPL antara Juventus dan Lazio di Stadium Allianz, Turin, Itali, 20 Julai, 2020. REUTERS
MAURIZIO Sarri melabel Cristiano Ronaldo 'luar biasa' selepas bintang Juventus itu menjadi pemain terpantas untuk meledak 50 gol dalam saingan Serie A.
Ronaldo meraih rekod tersebut dalam 61 perlawanan selepas pendahulu liga, Juve merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Lazio di Turin awal pagi tadi.
Pemenang Ballon d'Or lima kali itu meledak dua gol dalam tempoh tiga minit untuk meletakkan Juve di landasan untuk menjulang Scudetto buat kali kesembilan berturut-turut.
Bekas bintang Real Madrid dan Manchester United, Ronaldo, turut menjadi pemain pertama untuk menjaringkan lebih daripada 50 gol dalam saingan Serie A, LaLiga dan Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Apabila Cristiano dapat menghidu peluang… Dia seorang yang luar biasa, cepat pulih ke tahap terbaik di antara perlawanan," kata Sarri. "Bukan hanya daripada sudut fizikal, tetapi psikologinya.
"Dia mampu menjadi seorang pemain yang terlalu banyak menggunakan tenaga dalam setiap perlawanan, tetapi dia segara pulih ke tahap terbaik."
Ronaldo membuka jaringan enam minit selepas perlawanan bersambung dalam separuh masa kedua apabila menyempurnakan penalti selepas VAR mengesahkan bola terkena tangan pertahanan Lazio, Bastos.
Paulo Dybala kemudian melakukan lorongan buat Ronaldo mudah menggandakan jaringan tiga minit kemudian sebelum Ciro Immobile meledak gol saguhati buat Lazio tujuh minit sebelum tamat permainan.
Ronaldo telah menjaringkan 30 gol dalam saingan Serie A untuk menyamai bilangan yang dihasilkan oleh Immobile dengan berbaki empat perlawanan.
Rekod jaringan terbanyak Serie A dalam satu musim adalah 36 gol -- yang dicapai oleh Gonzalo Higuain ketika bersama Napoli pada musim 2015-16
"Jika Ronaldo meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod itu, dia semestinya sukar untuk diatasi."
#50 gol #Ballon d'Or #Cristiano Ronaldo #EPL #Juventus #Lazio #Liga Perdana Inggeris #Maurizio Sarri #Serie A
;