Lebih RM1 juta insentif untuk kontinjen SUKMA, Para SUKMA Perak

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 9, 2024 08:30 MYT
Menteri Besar Perak, Saarani bergambar dengan kontinjen SUKMA selepas majlis penyampaian insentif SUKMA dan Para SUKMA 2024, di Ipoh, malam tadi.
IPOH: Kerajaan Perak memberikan insentif lebih RM 1 juta kepada pegawai dan atlet negeri itu ekoran kejayaan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024, di Sarawak baru-baru ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, RM815,000 adalah insentif untuk kontinjen SUKMA manakala RM256,500 untuk kontinjen Para SUKMA.
Menurutnya, kerja keras dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak telah berjaya mencapai sasaran 35 pingat emas, 38 perak dan 56 gangsa.
“Dengan jumlah keseluruhan pungutan pingat sebanyak 129, ia merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh 14 tahun temasya SUKMA di luar Perak,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif SUKMA dan Para SUKMA 2024, di sini, malam tadi.
Beliau memberitahu, lebih membanggakan apabila sebahagian besar atlet yang bertanding di Sarawak masih boleh bertanding pada SUKMA 2026 di Selangor.
Saarani turut mengucapkan tahniah kepada kontinjen Para SUKMA yang berjaya membawa pulang 25 pingat emas, 22 perak, dan 20 gangsa, sekali gus menempatkan Perak dalam kedudukan lima terbaik.
Sementara itu, dalam ucapannya, Saarani berkata, kejayaan yang dicapai adalah hasil kerja keras yang telah ditanamkan sejak awal lagi.
“Seperti yang kita ungkapkan sebelum berangkat ke SUKMA, “Silver to Gold” bukan sekadar slogan, tetapi ia telah menjadi semangat yang menjulang kita ke puncak kejayaan.
“Dengan usaha gigih, kita telah melebihi sasaran dan mencapai hasil yang amat membanggakan,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada atlet angkat berat wanita, Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani, yang telah mencipta sejarah dengan memecahkan tiga rekod kebangsaan dalam acara Snatch, Clean & Jerk.
“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan negeri Perak, tetapi juga membuktikan bahawa atlet wanita kita mempunyai potensi besar untuk terus mengukir nama di persada sukan negara dan antarabangsa,” tambah Menteri Besar.
#insentif RM1 juta #Kontinjen Sukma #Kerajaan Perak #Sukma Sarawak
;