Lebih banyak pendedahan perlu diberi kepada pemain muda - Chong Wei
Bernama
November 5, 2016 07:21 MYT
November 5, 2016 07:21 MYT
Pemain muda perlu diberi lebih banyak ruang dan pendedahan dalam usaha membentuk mereka menjadi pemain badminton yang mampu bersaing di peringkat dunia, kata jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei.
Beliau berkata negara kini ketandusan pemain yang mampu menampilkan saingan sengit di peringkat dunia, malah jurang ranking antara dirinya dan pemain muda negara agak besar.
Justeru, beliau menegaskan pemain muda perlu diberi ruang dan pendedahan sesuai bagi mengikuti jejak pencapaiannya dalam sukan berkenaan.
Memberi contoh Iskandar Zulkarnain Zainuddin, 25, Chong Wei berkata pemain perseorangan kedua negara itu perlu diberi lebih banyak peluang beraksi di Kejohanan Badminton Siri Super BWF bagi memberi pendedahan kepadanya untuk terus meningkat sebagai pemain badminton bertaraf dunia.
"Ramai tanya saya, bagaimana untuk lahirkan 'Lee Chong Wei kedua', bagi saya kena beri banyak ruang dan pendedahan kepada pemain muda seperti Iskandar Zulkarnain...perlu hantar dia sertai lebih banyak (kejohanan) Siri Super BWF.
"Kejohanan Siri Super sebelum ini dia (Iskandar Zulkarnain) mungkin tidak beraksi sepenuh potensi tetapi beri dia ruang untuk bangkit dan jadi pemain terbaik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek pembangunan Marina Point di Klebang Besar di sini pada Sabtu.
Chong Wei berharap Iskandar Zulkarnain atau lebih ramai pemain muda lain mampu melakar kejayaan di peringkat dunia, sekaligus menerajui sukan badminton di negara ini yang ketandusan pemain pelapis bagi menggantikan dirinya suatu hari nanti.
Ditanya sama ada beliau berhasrat menjadi jurulatih selepas bersara, Chong Wei berkata beliau akan membuat keputusan berdasarkan kepada prestasi dan keadaan kesihatannya pada waktu itu.
"Kalau bagus (prestasi dan kesihatan), mungkin saya akan beraksi sampai 2018, lihat keadaan saya dahulu tahun depan macam mana. Sebenarnya saya belum memikirkan apa saya nak buat selepas bersara atau bila nak bersara.
"Ini kerana tumpuan ketika ini adalah kepada kejohanan tahun depan. Kalau prestasi saya bagus saya teruskan bermain dahulu," katanya. -- Bernama