Lebih 500 anggota keselamatan diarah berkawal di Stadium Shah Alam

Hamzah Hamid
September 8, 2015 19:46 MYT
Penyokong diminta patuh peraturan demi nama baik negara. - Foto Astro AWANI
Pasukan keselamatan yang terdiri daripada 530 anggota telah disiapkan bagi menjaga keamanan Stadium Shah Alam sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 Malaysia bertemu Arab Saudi malam ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata persiapan tersebut bagi memastikan keselamatan umum sekali gus menjaga imej negara agar tidak tercemar dengan sebarang insiden buruk.
"Semua 530 anggota yang dikerahkan adalah termasuk FRU dan RELA yang akan mengawal keseluruhan kawasan stadium.
"Pada masa yang sama kami menyiapkan kawalan lebih ketat di pintu masuk bersama pasukan canine atau anjing bagi memastikan penonton tidak membawa bersama mercun suar atau sebarang objek yang boleh menimbulkan kekacauan," ujarnya.
Persiapan tersebut dilakukan sebagai usaha menghadapi sebarang kemungkinan semasa berlangsungnya perlawanan.
Ini berikutan terdapat khabar angin yang menyatakan pihak-pihak tertentu mahu melakukan sesuatu sebagai tanda protes berikutan prestasi buruk pasukan negara ketika menentang Emiriyah Arab Bersatu pada 3 September lalu.
"Saya berharap penonton dan penyokong pasukan Harimau Malaya dapat patuh kepada peraturan dan undang-undang memandangkan ini adalah perlawanan bertaraf antarabangsa. Kita perlu menjaga nama baik negara," katanya.
#harimau Malaya #Piala Asia 2019 #Piala Dunia 2018
;