Lebih 5,000 peserta dijangka sertai Melaka International Marathon 2024

Bernama
Jun 12, 2024 06:15 MYT
Penganjuran acara larian kali kedua yang dianjurkan bersama MMTF Consultant dan Blitz One itu dilihat sebagai platform terbaik mempromosikan Melaka sebagai destinasi acara larian di peringkat antarabangsa. - Gambar hiasan
MELAKA: Seramai 5,000 peserta dijangka memeriahkan Melaka International Marathon 2024 pada 22 hingga 25 Ogos ini yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Tarikh tersebut meliputi penyerahan kit larian pada 22 dan 23 Ogos, acara larian dan separa maraton (24 Ogos) dan maraton pada 25 Ogos.
Pengarah Jojo Events Sdn Bhd Sharifah Farrah Soraya Syed Yusof dalam kenyataan berkata penganjuran acara larian kali kedua yang dianjurkan bersama MMTF Consultant dan Blitz One itu dilihat sebagai platform terbaik mempromosikan Melaka sebagai destinasi acara larian di peringkat antarabangsa.
"Acara larian ini akan bermula dan berakhir di Dataran Sejarah Ayer Keroh dan setakat ini pelari dari 28 negara telah mendaftar sekali gus meyakinkan kami ini adalah masa terbaik memperkenalkan Melaka di dunia sukan sebagai Destinasi Larian Baru.
"Ini kerana Melaka sangat kaya dengan budaya serta sejarah dan untuk itu, perlumbaan ini akan membawa pelari melalui tempat-tempat bersejarah dan ikonik yang memperkenalkan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia," katanya.
Beliau berkata objektif utama penganjuran ialah mempromosikan sukan larian sebagai amalan hidup sihat selain menyumbang kepada sosioekonomi negeri.
-- BERNAMA
#Melaka International Marathon 2024 #larian #tahun melawat melaka #maraton
;