Lebih 4.5 juta meriahkan sambutan HSN di seluruh negara

Bernama
Oktober 12, 2024 12:20 MYT
Hannah menyertai acara panas badan pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya, hari ini. Antara yang turut sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Lebih 4.5 juta rakyat menyertai pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi di seluruh negara sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2024, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Beliau berkata sambutan HSN yang diperkenalkan pada 2015 bertujuan untuk membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif ke arah negara bersukan.
"Walaupun HSN disambut sekali setahun sebagai soroton, kita mahu menggalakkan rakyat bersukan setiap masa untuk kekal sihat. Kita ada 103 jenis sukan yang telah diwartakan, jadi setiap lapisan masyarakat mempunyai pilihan sukan yang sesuai bagi mereka.
"Kerajaan telah memberikan pelepasan cukai sehingga RM1,000 pada Belanjawan 2024 untuk peralatan, yuran kejurulatihan dan bayaran fasiliti sukan. Kita mahu rakyat menggunakan peluang ini untuk kekal sihat," katanya selepas merasmikan Sambutan HSN Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Hannah berkata sambutan HSN peringkat kebangsaan menarik lebih 30,000 penyertaan dalam 64 jenis aktiviti termasuk daripada golongan warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak.
HSN di seluruh negara disambut hari ini atau Sabtu kedua Oktober, kecuali di Sarawak yang disambut esok bagi menghormati sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Sementara itu, beliau berharap Kementerian Belia dan Sukan akan menerima peruntukan mencukupi pada Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan Jumaat ini, bukan sahaja untuk sukan elit tetapi juga bagi sukan akar umbi.
"Kita ada banyak sukan komuniti dan pentingkan kebolehcapaian (accessibility) kepada semua rakyat untuk bersukan. Sebab itu kita wujudkan program seperti senamrobik di 43 Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang untuk kanak-kanak B40 di kawasan banyak berlaku kes lemas.
"Kita sedang wujudkan banyak program bagi menyenangkan rakyat bersukan, cuma harapkan bajet yang lebih untuk naik taraf fasiliti sukan sedia ada," katanya.
-- BERNAMA
#Hannah Yeoh #Hari Sukan Negara #Negara Bersukan #Kementerian Belia dan Sukan
;