Lebih 2,000 peminat bola sepak akan berhimpun di Kuala Lumpur
Bernama
November 13, 2018 17:44 MYT
November 13, 2018 17:44 MYT
Lebih 2,000 penggiat sukan bola sepak dari lebih 50 negara dijangka berkunjung ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia Asia (WFSA) pada 29 dan 30 April tahun depan.
Presiden La Liga Javier Tebas, pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Fatma Samoura adalah antara 60 tokoh terkemuka yang akan berucap pada sidang kemuncak itu.
Malah, pemenang Kasut Emas Piala Dunia 2002 Ronaldo Nazario dari Brazil juga dijangka menghadirinya.
Menurut ketua pegawai eksekutif WFSA R. Mohan, sidang kemuncak itu akan menjadi platform bagi semua pemegang kepentingan dalam industri bola sepak untuk membawa bola sepak Asia ke tahap lebih tinggi selepas kejayaan yang dicatat pada tiga edisi Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia di Madrid, Sepanyol.
"Untuk memastikan bola sepak terus maju dan berkembang, kita memerlukan satu program seperti WFSA untuk mengetengahkan wawasan dan melahirkan pandangan tentang bola sepak dunia, terutama dari segi penajaan, pemindahan pemain, hak media dan sains sukan, sekadar menyebut beberapa perkara," katanya pada majlis pelancaran tidak rasmi sidang kemuncak itu di sini hari ini.
Mohan berkata sidang kemuncak itu dijangka menarik wakil daripada lebih 70 kelab bola sepak, 100 petugas media dan 25 pempamer.
Antara aktiviti yang disusun bersempena WFSA ialah perlawanan bola sepak antara pasukan pemain legenda pilihan La Liga dan pemain legenda Malaysia, sesi rangkaian, anugerah industri dan e-Sukan.
Maklumat lanjut tentang sidang kemuncak itu dan pendaftaran boleh didapati daripada laman Facebook rasmi WFS: www.facebook.com/worldfootballsummit atau laman sesawangnya: asia.worldfootballsummit.com.