Lebih 120 atlet pekak bersaing di Bukit Jalil

Sinar Harian
April 10, 2024 12:50 MYT
Kejohanan Olahraga Orang Pekak akan diadakan di Stadium Mini, Bukit Jalil akhir April ini. (Gambar kecil: Shin Ruenn)
LEBIH 120 atlet pekak dari seluruh negara akan bersaing dalam Kejohanan Olahraga Orang Pekak Malaysia 2024 kali keempat pada 27 dan 28 April ini di Stadium Mini, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Kali terakhir kejohanan olahraga orang pekak itu diadakan pada 2017 di Johor dengan kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan.
Setelah tertangguh selama tujuh tahun, kejohanan kali ini akan memperagakan 13 acara bagi mengenal pasti barisan atlet berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn memberitahu, dari kejohanan peringkat kebangsaan itu, pihaknya menyasarkan atlet-atlet pelapis untuk dihantar bersaing di Kejohanan Taiwan pada Julai, Sukan SEA Orang Pekak di Jakarta pada Disember dan Olahraga Antarabangsa di Iran pada November depan.
Menurutnya, antara acara yang berpotensi untuk melahirkan atlet pekak bagi kejohanan antarabangsa termasuk lompat kijang, lompat jauh, 100 meter dan beberapa acara lain.
“Kita akan tengok pencapaian dan rekod catatan pada kejohanan kebangsaan itu nanti.
“Mana-mana atlet pekak yang mencapai sasaran catatan, MSDeaf akan hantar mereka untuk beberapa kejohanan antarabangsa tahun ini,” katanya.
Shin Ruenn menambah, saingan tahun ini dijangka lebih hebat memandangkan ramai atlet pekak mahu menempatkan diri dalam kejohanan peringkat antarabangsa.
“Pada masa ini, setiap kontinjen sedang menyedia dan melatih atlet masing-masing.
“Mereka akan berehat seketika bagi menyambut Syawal ini sebelum meneruskan latihan hingga kejohanan bermula,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Shin Ruenn memberitahu, MSDeaf mahu menjadikan Sukan SEA Orang Pekak di Jakarta sebagai sasaran meletakkan Malaysia sebagai pasukan terbaik.
“Kita akan mempertahankan kejuaraan setelah muncul juara keseluruhan pada Sukan SEA Orang Pekak 2022 yang diadakan di Kuala Lumpur.
“Sebab itu latihan berterusan diadakan dan kejohanan olahraga orang pekak kebangsaan di Bukit Jalil ini bagi mengenal pasti atlet-atlet berpotensi,” katanya. - Sinar Harian
#sukan Para #Kejohanan Olahraga Orang Pekak #OKU #sukan
;