Lebih 10,000 tiket dijual untuk perlawanan ATM-Kelantan
Bernama
Oktober 16, 2013 07:31 MYT
Oktober 16, 2013 07:31 MYT
Sebanyak 10,400 tiket akan dijual bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, Jumaat ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata daripada jumlah itu, 3,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong pasukan ATM manakala bakinya akan dijual kepada masyarakat umum termasuk penyokong Kelantan.
"Jualan tiket bermula 9 pagi Jumaat ini di venue perlawanan manakala tiket bagi penyokong ATM akan dijual di markas-markas ATM sekitar Lembah Klang pada hari dan masa yang sama," katanya pada sidang media di sini Rabu.
Zulkifeli yang juga Panglima ATM, berkata anggota ATM tidak dibenarkan membeli tiket yang diperuntukkan kepada masyarakat umum di venue perlawanan.
Harga tiket untuk tempat duduk biasa dan grandstand masing-masing ditetapkan pada RM20 dan RM30.
"Bagi mereka yang tidak sempat membeli tiket, kita akan sediakan dua skrin gergasi di sekitar stadium untuk membolehkan mereka mengikuti perlawanan itu," kata Zulkifeli.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar, yang turut hadir pada sidang media itu, berkata kira-kira 1,000 anggota polis akan mengawal keselamatan di samping memastikan keadaan trafik terkawal.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Afandi Hamzah berkata lebih banyak pintu masuk ke dalam stadium akan dibuka berbanding biasa.
"Pintu stadium akan mula dibuka 6 petang dan kita berharap penyokong kedua-dua pasukan masuk melalui pintu yang ditetapkan," katanya.