Layak ke UCL tidak pengaruhi masa depan saya bersama United - Ibrahimovic

Astro Arena
Februari 28, 2017 11:20 MYT
IBRAHIMOVIC: Kelab perlu berterima kasih kepada Mourinho kerana beliau telah menghubungi saya untuk membawa saya ke England.
Zlatan Ibrahimovic berkata masa depannya di Manchester United tidak bergantung kepada kelayakan mereka untuk beraksi di Liga Juara-Juara (UCL).
Ibrahimovic yang menandatangani kontrak selama satu musim pada Julai 2016 dengan pilihan untuk melanjutkan kontrak bagi musim 2017-18, masih belum memberikan pengesahan untuk kekal di United selepas meledak 26 gol dalam 38 perlawanan.
Ejennya, Mino Raiola enggan mempengaruhi pemain yang meledak gol kemenangan pada aksi final Piala EFL berdepan Southampton.
"Mari kita lihat apa bakal berlaku," kata Ibrahimovic.
Dia menegaskan kelayakan untuk beraksi di pentas tertinggi Eropah tidak akan menjadi faktor buat dirinya untuk kekal di Old Trafford.
"Saya ke United bukan kerana UCL. Ia tidak bermaksud jika mereka gagal layak beraksi di UCL, saya tidak akan melanjutkan kontrak," katanya.
Ibrahimovic mengesahkan tiga individu yang meyakinkan dirinya untuk ke United ialah anak-anaknya, Maximilian dan Vincent serta pengendali pasukan, Jose Mourinho.
"Kelab perlu berterima kasih kepada Mourinho kerana beliau telah menghubungi saya untuk membawa saya ke England. Anak-anak lelaki saya juga mahu melihat saya bermain untuk United," katanya.
Pemain berusia 35 tahun itu menikmati musim yang berjaya bersama kelab seperti Inter, AC Milan, Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG).
Ibrahimovic menegaskan, dia tidak akan mencemarkan kejayaannya dengan bermain di luar tahap terbaiknya.
"Saya tidak akan menjadi seperti pemain lain. Saya akan terus bermain selagi masih mampu menghasilkan keputusan yang positif buat pasukan saya," katanya.
#berita bola sepak #Jose Mourinho #Manchester United #Old Trafford #Zlatan Ibrahimovic
;