Lawan kelab ternama, rindu budu matangkan pemain muda negara di Sepanyol
Bernama
Julai 2, 2022 19:01 MYT
Julai 2, 2022 19:01 MYT
KUALA LUMPUR: Bermain menentang pasukan bola sepak ternama di Sepanyol adalah antara pengalaman manis buat pemain muda negara Allee Putra Azril sepanjang dua tahun 'berguru' di Akademi Malaga City FC.
Malah pemain kelahiran Bachok, Kelantan itu yang telah menimba pengalaman di sana sejak berusia 15 tahun turut berpeluang beradu kekuatan dengan barisan pemain skuad Bawah 17 tahun Sepanyol dalam satu perlawanan persahabatan.
Katanya semua pendedahan itu termasuk peluang menikmati kemudahan terbaik ketika menjalani latihan di sana membakar semangatnya untuk lebih bekerja keras meningkatkan mutu permainan dalam mengejar cita-citanya menjadi pemain profesional.
"Peluang beraksi dengan kelab-kelab besar LaLiga (Liga Sepanyol) adalah pengalaman manis saya, menang atau kalah lain cerita tetapi untuk bermain di sana dalam fasiliti bertaraf dunia adalah satu penghormatan dan kelebihan buat saya," katanya pada Sidang Media Allee Putra di sini, hari ini.
Pemain di posisi tengah itu berkata beraksi bersama rakan sepasukan yang terdiri daripada pemain tempatan dan antarabangsa membantunya memajukan lagi prestasi dan kemahiran, terutama dari aspek fizikal, mental dan teknik kawalan bola.
Bagaimanapun, beliau yang memasang impian beraksi bersama kelab gergasi Sepanyol Real Madrid mengakui pemain Asia berdepan cabaran hebat dari sudut penerimaan pemain Eropah dan antarabangsa di sana.
"Mereka (pemain Eropah dan antarabangsa) pandang pemain Asia macam kurang sedikit daripada mereka dari segi fizikal dan mental, tapi Alhamdulillah saya mesra dengan kawan-kawan di akademi jadi mereka tak menghina saya," katanya yang dikenali sebagai Thiogo Allee di sana.
Dalam pada itu, Allee berkata pengalaman 'pahit' sepanjang berkelana di Sepanyol adalah tidak boleh pulang ke tanah air dan menikmati budu yang merupakan antara makanan kegemarannya, namun dengan keazaman dan sokongan keluarga beliau berjaya mengatasinya.
Justeru, beliau menasihatkan pemain muda yang berhasrat untuk bermain di luar negara supaya tidak gentar mengambil risiko dan menggunakan peluang tersebut bagi meraih seberapa banyak pengalaman berharga.
Allee dijangka pulang ke Sepanyol bulan depan bagi meneruskan latihan serta mengintai peluang menyertai kelab utama di LaLiga selepas menjadi antara 14 pemain terbaik Akademi Malaga City FC yang ditawarkan biasiswa penuh bagi musim 2022-2023.
Sebagai rekod, Allee mula menyertai Akademi Malaga City FC pada 2020 dan mendapat sokongan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
-- BERNAMA