Lawan JDT 90 minit, Datuk Seri Vida beri 'bonus' RM10,000

Madiha Abdullah
April 10, 2016 14:10 MYT
Imbuhan dari Vida itu dilihat sebagai suntikan semangat terutama apabila berdepan dengan pasukan segah JDT.
SAINGAN Liga Malaysia minggu ini menyaksikan perlawanan antara juara AFC, Johor Darul Takzim (JDT) dan gergasi Pantai Timur, Kelantan, menjadi tumpuan.
Biarpun pada awalnya ramai yang beranggapan ia akan menjadi tugas mudah buat JDT memandangkan prestasi lawan yang tidak menentu kebelakangan ini, namun Kelantan nyata tidak mahu mengalah apatah lagi beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri.
Selain mendapat suntikan semangat daripada penyokong, tidak keterlaluan jika dikatakan keputusan seri yang berjaya dicatatkan adalah kerana imbuhan yang dijanjikan oleh Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Vida.
Dalam video yang tersebar di laman sosial, Datuk Seri Vida yang bersama pemain di bilik persalinan sebelum perlawanan bermula, menjanjikan 'bonus' RM10,000 buat pemain yang bermain dalam masa penuh 90 minit.
Kuasa Duit Dato Vida

Dedak untuk tewaskan JDT! RM10,000 cash untuk Player yang main full! Qu dedak..Qu dedak...Baru lah Dedor!#friendsofjdt

Posted by Friends Of JDT
Melalui video itu juga, Vida sempat memohon maaf daripada pemain dan pengurusan atas beberapa isu yang membabitkan dirinya, yang mungkin merujuk kepada amaran yang diberikan Perkongsian Liabiliti Terhad Football Malaysia (FMLLP) sebelum ini.
Amaran itu dikeluarkan kerana Vida yang juga penaja utama Kelantan, didakwa melanggar beberapa peraturan, antaranya menggunakan telefon bimbit di kawasan teknikal, selain mengenakan jersi yang sama seperti yang dikenakan pemain dalam padang.
Pertembungan Liga Super antara JDT dan Kelantan di Kota Bharu, yang disifatkan ramai sebagai salah satu perlawanan el clasico tempatan, menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata apabila seri 2-2.
#Datuk Seri Vida #Kelantan #Qu Puteh #The Red Warriors
;