'Lautan hitam kuning' mula banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil
Ridauddin Daud
Disember 24, 2022 19:52 MYT
Disember 24, 2022 19:52 MYT
KUALA LUMPUR: Ribuan penyokong Harimau Malaya mula membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini, sejak pukul 6.30 petang tadi.
Rata-rata penyokong tempatan memakai jersi pasukan kebangsaan, sebagai tanda sokongan buat skuad bola sepak negara yang akan menentang Laos dalam saingan Kumpulan B, saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, di SNBJ, malam ini.
Meskipun perlawanan bermula hanya akan bermula pada pukul 8.30 malam, namun penyokong dilihat sudah mula berkampung di luar stadium tiga jam lebih awal.
Ultras Malaya juga dilihat sudah memasuki stadium dan memulakan sorakan mereka bersama-sama penyokong di dalam stadium sekitar pukul 7.30 malam.
Perlawanan pada malam ini menjadi tumpuan selepas Malaysia cemerlang pada perlawanan pertama dengan menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi pembukaan Rabu lepas.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan badi kekalahan sejak 2016 di Stadium Thuwunnna, Myanmar.
Pemain sayap lincah, Mohamad Faisal Abdul Halim dan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed masing-masing muncul wira pasukan negara apabila meledak gol kemenangan dan bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti Myanmar pada penghujung perlawanan.
Kemenangan itu memberikan tiga mata penting kepada skuad Harimau Malaya dalam usaha memburu dua slot ke peringkat separuh akhir seterusnya mencuba menamatkan penantian 12 tahun merangkul gelaran kedua kejohanan tertinggi peringkat Asia Tenggara itu.
Atas kertas, Malaysia dijangka tidak berhadapan masalah untuk membenam Laos yang dibelasah Vietnam dalam perlawanan pertama mereka baru-baru ini.