Laungan 'pengadil bodoh' bergema di Stadium Shah Alam

Sufian Hadi
April 17, 2013 22:04 MYT
Kira-kira 40,000 penyokong Selangor melahirkan rasa tidak puas hati dengan melaungkan kata-kata kesat termasuk ‘pengadil bodoh’ ketika berlangsungnya perlawanan di antara Selangor menentang Johor Darul Takzim (DT) dalam aksi Piala FA malam kelmarin (selasa).
Ia berikutan sesetengah keputusan pengadil perlawanan, Lismatio Mohem Mohd Tisan, dipersoal penonton dalam beberapa insiden kekasaran yang berlaku pada babak kedua.
Salah seorang penonton, Mohd Afiq Mohd Kamar, 27, menyifatkan pengadil perlawanan gagal menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin.
“Perlawanan malam ini memang baik tetapi pengadil teruk, inilah yang boleh saya rumuskan,” jelasnya sambil mengharapkan agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat mengambil tindakan terhadap pengadil bertugas.
Dalam masa sama, penonton turut melemparkan objek seperti botol air dan bekas makanan ke dalam padang hingga mengakibatkan suasana di stadium bertambah kecoh.
Kemenangan 2-1 di raih Selangor pada suku akhir pertama gagal dipertahankan apabila pasukan anak buah Fandi Ahmad nyata berjaya bangkit sekaligus mencatatkan kemenangan 2-1, menjadikan kedudukan agregat terikat 3-3.
Dalam aksi suku akhir kedua Piala FA, DT berjaya ke separuh akhir selepas menewaskan Selangor 4-2 menerusi sepakan penalti.
Keputusan itu membolehkan DT bertemu Pahang yang dijadualkan berlangsung penghujung bulan depan.
#bola sepak #FAM #Johor Darul Takzim #Piala FA #Selangor
;