Lau sambar emas kedua peribadi Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2023

Bernama
Julai 22, 2023 20:38 MYT
Pelumba muda Kuala Lumpur Cycling Team Lau New Joe mencipta sensasi apabila berjaya menyambar pingat emas kedua peribadinya pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2023 di Bukit Katil, hari ini. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Pelumba muda Kuala Lumpur Cycling Team Lau New Joe mencipta sensasi apabila berjaya menyambar pingat emas kedua peribadinya pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2023 di Bukit Katil, di sini hari ini.
Selepas menjuarai acara ujian masa individu (ITT) remaja lelaki semalam, Lau sekali lagi menampilkan kayuhan memukau apabila meraih emas acara lepas beramai-ramai yang bermula dan berakhir di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil di sini.
"Sejujurnya saya sendiri tidak jangka dapat memenangi pingat emas dalam acara ini kerana saya masih lagi keletihan selepas beraksi dalam acara ITT pada semalam.
"Sebelum perlumbaan bermula, jurulatih (Datuk Ng Joo Ngan) sudah memberitahu saya supaya fokus dan tidak meletakkan tekanan ke atas diri saya sendiri kerana beliau tidak mahu saya berasa sebarang tekanan ketika berlumba.
"Jadi saya hanya ikut perancangan beliau dari mula sehingga tamat perlumbaan. Sudah tentu saya gembira kerana dapat mengekalkan rentak kayuhan sehingga berjaya muncul juara pada perlumbaan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada perlumbaan sejauh 104 kilometer (km) itu, Joe melintasi garisan penamat dengan pecutan solo apabila merekodkan catatan 2 jam 25 minit 36 saat (s) bagi meninggalkan dua pelumba Terengganu iaitu Tengku Muhammad Najib Tengku Norizan dan Muhammad Adam Ramdzan Razali yang berkongsi masa 2:35.52s.
Lau berkata kemenangan pada hari ini merupakan bonus buat dirinya memandangkan beliau tidak meletakkan sebarang sasaran untuk perlumbaan itu.
"Saya hanya 'keluar' berlumba dan cuba berada dalam kelompok hadapan sebelum menjarakkan diri dengan pelumba lain pada pusingan terakhir," katanya.
Sementara itu, pelumba Johor Intan Suraya Tokiman muncul juara kategori remaja Wanita (78km) dengan catatan masa 2:34.44s diikuti wakil Terengganu, Dahlia Hazwani Hasyim (2:34.44s) dan seorang lagi pelumba Johor, Dania Avriel Alviera Azif (2:34.53s).
Kategori bawah 23 tahun lelaki (156km) pula menyaksikan pelumba Terengganu, Muhamad Iqbal Daniel meraih pingat emas dengan pecutan solo menuju ke garisan penamat selepas merakamkan catatan masa 3:59.23s.
Pingat perak dan gangsa pula masing-masing dimenangi pelumba Team Aquatwo Cyclomotion (TAC), Muhammad Iskandariah Media Mohd Hashim dengan catatan 3:59.27s dan wakil Perak Mohammad Faiz Fakhri Omar (3:59.32s).
Hari terakhir Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2023 esok bakal menyaksikan lima lagi acara dipertandingkan dengan tumpuan utama sudah pasti terarah dalam saingan lepas beramai-ramai elit lelaki dan wanita.
-- BERNAMA
#Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2023 #Lau New Joe #pingat emas #pelumba muda Kuala Lumpur Cycling Team
;