Latihan hanya sehari: Kim Swee tiada pilihan lain
Astro Arena
Julai 12, 2017 22:11 MYT
Julai 12, 2017 22:11 MYT
SKUAD bawah 22 tahun (B-22) negara nyata perlu bimbang untuk menghadapi Myanmar di Stadium Shah Alam, malam esok ekoran lawan telah melakukan persiapan selama tiga minggu sebelum tiba ke Kuala Lumpur.
Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, pula hanya mempunyai masa hanya sehari untuk mengadakan latihan bersama 26 pemain yang dipanggil.
Senarai itu termasuk 12 pemain yang hanya tiba semalam, dengan sebahagian besar mereka beraksi selama 90 minit bersama pasukan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia.
Kim Swee menjelaskan dia tiada pilihan lain kecuali terpaksa menggunakan sahaja pemain walaupun bingung memikirkan kecergasan anak-anak buahnya.
"Penting untuk kami memikirkan strategi dan corak kami bermain. Kami tahu Myanmar berlatih sudah tiga minggu tetapi itu bukan masalah yang perlu saya fikirkan.
"Saya lebih pentingkan apa yang perlu kami lakukan walaupun sehari dan saya percaya pemain akan memberi yang terbaik serta mengikut apa yang kami perlu lakukan dalam perlawanan esok," katanya.
Namun, keadaan itu jauh berbeza dengan Myanmar yang sudah mengharungi empat perlawanan persahabatan sebelum tiba ke Malaysia.
Myanmar nyata jauh lebih bersedia menghadapi pasukan negara selepas disuntik dengan kehadiran 10 pemain yang beraksi dalam Piala Dunia Bawah 20 Tahun di New Zealand, dua tahun lalu.
"Kami bermain menentang Kemboja, Hong Kong dan skuad universiti dari Jepun sebelum bertemu skuad senior (Myanmar). Saya mesti mengucapkan terima kasih dengan jemputan ke sini.
"Ini adalah peluang baik dalam persediaan kami untuk kelayakan Kejohanan Piala AFC B-23," kata jurulatih skuad B-23 Myanmar, Gerd Zeise.
Tag Datuk Ong Kim Swee