Latif pastikan emas miliknya

Astro Arena
Julai 16, 2017 22:45 MYT
Latif pastikan emas terus berada dalam genggamannya. - Gambar fail
ATLET lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, berjaya mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi lalu selepas melakukan lompatan 7.37 meter dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London hari ini.
Catatan itu juga berjaya memadam rekod kejohanan 7.35m yang dilakukannya dua tahun lalu di Qatar.
Dalam percubaan pertama, Latif sekadar melakukan lompatan sejauh 6.97 meter berbanding seteru utamanya, Zoran Talic, yang melakukan 7.32m.
Malah, Latif jatuh ke kedudukan ketiga selepas dipintas atlet Ukraine, Dmytro Prudnikov, yang melakukan lompatan 7.12m.
Bagaimanapun, dalam percubaan keempat, Latif memperkemaskan lagi teknik larian dan lompatan sehingga berjaya memintas dua atlet tersebut untuk berada di tangga teratas dengan catatan 7.36m, yang juga rekod kejohanan yang baru sebelum sekali lagi memperbaharui rekod dengan lompatan sejauh 7.37m.
Walaupun pada percubaan terakhir Latif sekadar melakar 7.11m, ia sudah memadai selepas dua pencabar terkuat, iaitu Talic dan Prudnikov, kekal dengan catatan yang dilakukan pada awal percubaan.
#Abdul Latif Romly #emas #kejohanan #lompat jauh #London #olahraga dunia #Qatar #sukan
;