Latif dan Ziyad tekad teruskan kecemerlangan demi Sukan SEA

Raja Hisyam Raja Zaid
Julai 24, 2017 19:39 MYT
Ziyad (kiri) dan Latif jadikan pencapaian sebagai pencetus motivasi bagi kejohanan seterusnya. - Astro AWANI/Shahir Omar
Atlet Paralimpik negara, Abdul Latif Romly dan Muhamad Ziyad Zolkefli yang memecahkan rekod kejohanan dan dunia di Kejohanan Para Dunia yang berlangsung di London diberi sambutan wira sejurus menjejakkan kaki ke tanah air petang tadi.
Kedua-dua wira negara itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama-sama empat lagi atlet Paralimpik yang turut mengambil bahagian pada kejohanan tersebut.
Selain Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan keluarga yang sedia menunggu di ruang legar KLIA lebih seribu peminat dan penyokong turut sedia menanti mereka sejak jam 3 petang.
Ziyad yang ditemui media berkata, beliau akan meneruskan rekod cemerlang yang dilakukan di Rio dan London pada kejohanan-kejohanan akan datang, serta optimis untuk memecahkan sekali lagi rekod dunia yang dilakarnya.
"Setiap kejohanan, saya akan lakukan yang terbaik, Insya-Allah pada Sukan SEA yang tidak berapa lama ini juga. Sebelum saya pergi ke London juga saya sudah tekad untuk cuba pecahkan rekod di Rio dan Alhamdulillah saya sudahpun lakukannya, hasil latihan yang baik," ujarnya.
Bagi juara lompat jauh bagi kategori T20, Abdul Latif Romli, beliau berpuas hati dengan pencapaian yang dilakukan di London namun telah memasang cita-cita untuk mengulanginya pada Sukan SEA KL2017 nanti dengan memecahkan rekod yang dilakukannya pada kejohanan itu.
"Alhamdulillah, saya rasa syukur kerana apa yang impikan tercapai di sana. Namun untuk Sukan SEA nanti saya akan berusaha sedaya upaya untuk pecahkan catatan yang saya lakukan di sana," katanya.
#Abdul Latif Romly #atlet #kejohanan dunia #London #Muhamad Ziyad Zolkefli #Paralimpik #Sukan SEA
;