Larian separuh maraton di jambatan Pulau Pinang kedua tahun depan
Bernama
Disember 16, 2014 22:20 MYT
Disember 16, 2014 22:20 MYT
Pulau Pinang akan menganjurkan larian separuh maraton antarabangsa, "Compressport Penang Bridge Half Marathon 2015", pada 14 Jun, 2015 untuk pertama kali selepas 'Penang International Bridge Marathon' tahun lepas.
Pengerusi pengelola Danny Law Heng Kiang berkata ini kali pertama Pulau Pinang menganjurkan dua maraton standard antarabangsa dan menjangka dapat menarik lebih 4,000 peserta asing.
Beliau berkata separuh maraton itu akan diadakan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan pihaknya menunggu kelulusan pengendali jambatan.
Law yang juga anggota exco negeri bagi Pelancongan dan Pembangunan Kebudayaan berkata penganjur menghadkan 25,000 peserta untuk separuh marathon dan pendaftaran akan bermula 1 Januari depan.
Peserta-peserta awal akan menerima pek larian percuma yang akan diserahkan di mana-mana tempat dalam Malaysia.
"Kami akan menutup permohonan sebaik saja 25,000 orang mengesahkan penyertaan.
"Terdapat enam kategori dan juga juara peserta lelaki dan wanita Malaysia terbaik untuk rebutan," kata beliau.