Larian Obor Sukan SEA berakhir di Kuching, obor dibawa ke Perlis

Bernama
Jun 13, 2017 23:22 MYT
Penyanyi popular, Dayang Nurfaizah membawa Obor Sukan SEA 2017 (KL2017) dan Para ASEAN ke-9 di Tebingan Sungai Kuching, di Kuching, hari ini. --fotoBERNAMA
Larian Obor Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tiba di bandar raya Kuching hari ini, selepas larian berkenaan merentasi Jambatan Sungai Batang Sadong, Samarahan semalam.
Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Snowdan Lawan membawa obor berkenaan menaiki perahu tambang dari Pangkalan Sapi menyeberangi Sungai Sarawak, dan disambut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di GoDown Amphithetre Tebingan Kuching.
Turut hadir, penyanyi popular tanah air Dayang Nurfaizah; Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Ik Pahon Joyik.
Dari Tebingan Kuching, obor berkenaan dibawa ke Bangunan Mazma, Kuching oleh Dayang Nurfaizah serta beberapa pelari lain.
Abdul Karim berkata kira-kira 400 orang menyertai acara larian hari ini, sebelum obor itu dibawa dan diserahkan kepada Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man oleh Snowdan pada 15 Jun ini, di Kuala Lumpur untuk larian di negeri berkenaan.
Katanya larian obor berkenaan di Sarawak bermula di Limbang dari Sabah, dan singgah di beberapa tempat termasuk Lawas, Miri, Gua Mulu, Bintulu, Sibu, Sri Aman dan Kota Samarahan.
-- BERNAMA
#Abdul Karim Rahman Hamzah #Kuching #larian obor #Sukan SEA Kuala Lumpur
;