Larian obor sukan musim sejuk Asia ke-9 bermula pada Isnin
Bernama
Februari 2, 2025 05:00 MYT
Februari 2, 2025 05:00 MYT
HARBIN: Kurang seminggu sebelum pembukaan rasmi Sukan Musim Sejuk Asia (AWG) ke-9 di Harbin, larian obor temasya tersebut akan bermula secara rasmi di "Bandar Ais" pada Isnin, lapor Xinhua.
Li Na, ketua Pasukan Pembawa Obor dan Pengurusan Sukarelawan Pusat Perintah Larian Obor, berkata bahawa larian obor tersebut akan berlangsung selama sehari, meliputi jarak keseluruhan sekitar 11 kilometer dan terdiri daripada majlis pelancaran, majlis penutupan, serta persembahan komuniti sepanjang laluan.
"Pemilihan pembawa obor dijalankan dengan memberi penekanan kepada keterangkuman, representasi, dan keadilan, dengan penyertaan daripada Majlis Olimpik Asia (OCA), Jawatankuasa Olimpik China, jawatankuasa penganjur AWG, serta pelbagai bandar di seluruh Wilayah Heilongjiang, serta wakil daripada syarikat penaja acara ini," kata Li, sambil menambah bahawa sejumlah 120 pembawa obor akan mengambil bahagian dalam acara itu.
Laluan larian obor, yang melalui pelbagai mercu tanda di Harbin, dipilih untuk memenuhi keperluan faktor laluan yang mudah, selamat dan keindahan, sambil mempamerkan landskap semula jadi, warisan budaya, dan daya tarikan bandar tuan rumah.
Sukan Musim Sejuk Asia Ke-9 akan berlangsung di Harbin dari 7 hingga 14 Feb. Lebih 1,270 atlet dari 34 negara dan wilayah di seluruh Asia akan mengambil bahagian, menjadikan edisi kali ini yang terbesar dari segi delegasi dan atlet yang terlibat.
-- BERNAMA