Larian Obor Sukan Asia 2018 bermula
Bernama
Julai 15, 2018 05:55 MYT
Julai 15, 2018 05:55 MYT
Larian Obor Sukan Asia 2018 bermula pada Ahad dari New Delhi ketika Indonesia bersedia untuk menganjurkan temasya berprestij itu bulan depan.
Obor itu akan mengharungi perjalanan sejauh 18,000km melintasi 58 bandar raya di 18 wilayah di seluruh Indonesia sebelum tiba di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta untuk upacara perasmian pada 18 Ogos.
Kira-kira 30 atlet termasuk petinju Olimpik India Mary Kom dan jaguh badminton Indonesia Susi Susanti selaku Duta Obor, menyertai larian obor yang berlangsung di Major Dhyan Chand National Stadium hari ini, tempat lahirnya acara sukan utama Majlis Olimpik Asia itu pada 1951.
Upacara menyalakan obor itu dihadiri pemimpin kanan sukan termasuk Presiden Persatuan Olimpik India Narinder Batra dan Ketua Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia, Erick Thohir.
Temasya kali ini yang akan berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 Sept di Jakarta dan Palembang selaku bandar raya hos bersama akan menghimpunkan lebih 11,000 atlet dari 45 negara untuk mengambil bahagian dalam 40 sukan dengan 465 acara.
"Seramai 11,920 atlet mengambil bahagian, bermakna Sukan Asia semakin berkembang. Kami mahu membangunkan ekonomi di seluruh kepulauan dan penganjuran di dua bandar raya ini memberi kami peluang untuk mewujudkan keseimbangan dan pekerjaan," kata Erick. -- Bernama