Larian obor Olimpik Tokyo tidak dilakukan di jalanan Osaka
Agensi
April 8, 2021 11:47 MYT
April 8, 2021 11:47 MYT
TOKYO: Larian obor Olimpik Tokyo tidak akan dilakukan di jalanan wilayah Osaka minggu depan disebabkan peningkatan kes COVID-19.
Langkah itu dilihat satu tamparan bagi penganjur Olimpik Tokyo yang memulakan larian obor itu dua minggu lalu dari wilayah timur laut Fukushima dengan 10,000 pelari merancang untuk merentas Jepun dalam tempoh empat bulan.
Olimpik akan bermula dalam masa kira-kira 100 hari lagi iaitu pada 23 Julai.
Dalam perubahan rancangan pada saat-saat terakhir, penganjur berkata, pelari obor akan terlibat dalam beberapa acara di taman bandar Osaka pada 13 dan 14 April.
"Disebabkan keadaan itu, pihak berkuasa Osaka hari ini meminta penganjur Tokyo 2020 untuk mengadakan segmen larian obor Olimpik di Taman Peringatan Expo '70 dan bukannya di jalan raya umum.
Kenyataan itu menyatakan, segmen Osaka akan dijalankan di taman itu untuk semua pembawa obor dan tanpa penonton.
Larian obor adalah antara salah satu cabaran yang mencetus kemungkinan berlakunya masalah besar ketika temasya Olimpik dan Paralimpik berlangsung, lebih-lebih lagi dengan kemasukan sejumlah 15,400 atlet dari lebih 200 negara ke Jepun.
Mereka akan disertai puluhan ribu pegawai, pengadil dan media.
Peminat dari luar negara adalah dilarang hadir dan belum jelas berapa ramai peminat tempatan dapat menghadiri acara Olimpik itu.
Presiden Jawatankuasa Penganjur Olimpik Tokyo, Seiko Hashimoto menjanjikan keputusan berkenaan kapasiti penonton akan dibuat pada bulan ini.
Terdahulu Gabenor Osaka, Hirofumi Yoshimura meminta orang ramai pada Rabu untuk tidak melakukan perjalanan yang tidak perlu di daerah itu.
"Sistem perubatan (di Osaka) berada di ambang kelumpuhan," kata Yoshimura pada sidang akhbar berkenaan lonjakan jangkitan yang pantas disebabkan varian baharu virus.
Kira-kira 70 peratus katil hospital yang ada di Osaka sudah digunakan.
Osaka melaporkan 719 kes baharu pada Selasa dan lebih daripada 800 dijangka pada Rabu, kedua-duanya melebihi jumlah keseluruhan kes baharu Tokyo.
Tetapi terdapat juga kebimbangan bahawa lonjakan akan segera terjadi di Tokyo.
Pelaksanaan vaksinasi sangat perlahan di Jepun dengan sangat sedikit individu yang dijangka diberi vaksin ketika Olimpik bermula.
Jepun telah mencatatkan 9,300 kematian akibat COVID-19.
#larian obor
#Olimpik Tokyo
#osaka
#COVID-19
#vaksin
#Jepun
#Seiko Hashimoto
#Hirofumi Yoshimura
#Tokyo