Larian Obor KL2017 mulakan siri jelajah di Johor Bahru hari ini

Shahrul Hassan, Malik Ridhwan
Mei 13, 2017 17:49 MYT
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar membawa baton yang diterima dari negara jiran Singapura, sejurus tiba di Pusat Bandaraya Johor Bahru bagi Majlis Penyerahan Obor, Larian Obor KL2017 hari ini. - Foto Bernama
Larian Obor Kuala Lumpur 2017 yang dianjurkan sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 yang juga dikenali sebagai KL2017, memulakan siri jelajahnya hari ini di destinasi pertamanya di Bandaraya Johor Bahru.
Johor menjadi tuan rumah terawal siri larian tersebut di negara ini yang menjelajah ke semua 10 buah negara ASEAN bermula di Brunei pada 5 Mac lepas dan baru berakhir di Singapura pagi tadi.
Baton tersebut dibawa masuk ke Malaysia oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin selepas menerimanya daripada Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, Graca Fu Hai Yien.
Khairy yang membawa baton menaiki kereta api dari Woodlands Singapura menuju ke stesen kereta api Johor Bahru Sentral.
Baton yang dibawa terus ke Muzium Tokoh Johor itu kemudiannya ditukar kepada obor dan diserahkan kepada wakil rasmi Menteri Besar Johor, Exco Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan, sebagai tanda permulaan larian obor KL2017.
Obor dibawa dalam satu larian mengelilingi bandar Johor Bahru dan turut merentasi beberapa daerah lain sejauh lebih 90 kilometer, termasuk Kulaijaya, Kluang, Batu Pahat, Muar dan Tangkak.
Sepanjang larian berlangsung di Johor, obor tersebut akan dibawa berarak menggunakan trak terbuka sambil diiringi kumpulan gendang.
Khairy ketika ditemui turut berkata, Larian Obor juga akan mempersembahkan gimik larian berbeza di setiap negeri.
“Maka dengan itu, baton sudah diganti dengan obor, dan obor tersebut akan dibawa ke seluruh pelusuk tanah air bermula dari Johor Bahru.
“Di Johor, ia akan dibawa ke enam daerah, sebelum disambung ke negeri lain. Larian Obor akan dibawa ke tempat ikonik antaranya mendaki Gunung Kinabalu, Ulu Cave Sarawak, Wau Bulan Kelantan, dibawa menyelam ke lautan di Pulau Perhentian di Terengganu , Menara Kuala Lumpur, puncak Bukit Jugra Selangor.
“Kemuncaknya, obor dibawa ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 Ogos, sekali gus perasmian pembukaan sukan ini,” jelas Khairy.
Turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Pegawai Eksekutif, Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong dan Timbalan Ketua Setiausaha KBS, Nik Abdul Kadir Nik Mohamamad.
Larian Obor KL2017 yang bermula hari ini akan berakhir pada 12 Ogos.
Sementara itu, kemuncak KL2017 akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos bagi temasya Sukan SEA, manakala 17 hingga 23 September 2017 bagi Sukan Para ASEAN.
#Khairy Jamaluddin #KL2017 #larian obor #para asean #sukan #Sukan SEA
;