Larian baton SUKMA 2024 berakhir di Kuching

Bernama
Jun 23, 2024 04:00 MYT
Simbolik pelancaran larian di Kuching sejauh 4.1 kilometer disempurnakan Abdul Karim dan Fatimah jam 7 pagi tadi. -Facebook UKAS
KUCHING: Larian Baton temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang bermula dari bahagian utara negeri itu pada 27 April lepas berakhir di Kuching hari ini.
Larian itu sebelum ini melalui Limbang, Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Kapit, Sarikei, Betong, Sri Aman, Serian dan Samarahan.
Terdahulu, simbolik pelancaran larian di Kuching sejauh 4.1 kilometer disempurnakan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah pada 7 pagi.
Kira-kira 1,000 warga Kuching memeriahkan larian itu yang bermula di Tebingan Sungai Kuching di sini dalam keadaan hujan renyai.
SUKMA 2024 bakal diadakan di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos depan melibatkan sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Temasya kali ini bakal menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingan membabitkan 488 acara dan menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.
SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.
-- BERNAMA
#SUKMA #larian baton #Sukan Malaysia #Abdul Karim Rahman Hamzah