Lance Armstrong mengaku dia ambil dadah

Astro Awani
Januari 15, 2013 07:52 MYT
Pelumba basikal Amerika Syarikat Lance Armstrong akhirnya membuat pengakuan terbuka dalam rancangan temubual popular Oprah Winfrey bahawa beliau mengambil dadah untuk memenangi perlumbaan Tour de France.
Pengakuan itu didedahkan oleh satu sumber dalaman produksi rancangan terbabit yang dikatakan mengetahui kandungan sesi temubual berkenaan yang bakal disiarkan Khamis ini.
Stesen ABC News, The New York Times dan USA Today turut melaporkan Armstrong mengaku menggunakan dadah jenis steroid ketika rakaman temubual bersama Oprah Winfrey di kediamannya di Austin, Texas.
Sumber juga mendedahkan mengenai keputusan Armstrong yang mungkin memulangkan sebahagian hasil penajaan oleh US Postal Service yang menjadi penaja pasukannya ketika kemenangan yang diraihnya di jelajah Tour de France.
US Postal Service menaja pasukan Armstrong dari tahun 1996 hingga 2004 dengan bayaran lebih US$31 juta (RM95 juta).
Armstrong dianggap lagenda sebelum ini apabila menjuarai Tour de France sebanyak tujuh kali berturut-turut bermula tahun 1999.
Peguam Armstrong, Tim Herman bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai temubual tersebut.
Oprah turut mengesahkan mengenai temubual tersebut menerusi akaun twitternya.
Temubual bersama Oprah merupakan temubual pertama Armstrong setelah kejuaraannya di Tour de France dilucutkan pada Oktober lepas.
Ia selepas keputusan ujian doping mendedahkan skandal penggunaan dadah sepanjang kariernya.
#Dadah #doping #Lance Armstrong #Oprah Winfrey #Tour de France
;