Lampard tagih peningkatan prestasi Hudson-Odoi

Astro Arena
Januari 6, 2020 08:49 MYT
Lampard memuji persembahan Hudson-Odoi (tiga kanan), menyifatkan ia baik dan pemain itu beraksi agresif ketika memberi tekanan. Gol yang dihasilkannya itu adalah melalui rembatan yang hebat, tambahnya. Astro ARENA
CHELSEA 2 NOTTINGHAM FOREST 0
Callum Hudson-Odoi mengorak langkah besar dalam kemenangan Piala FA di Nottingham Forest tetapi Frank Lampard tidak meragui masih banyak lagi kualiti yang boleh dipersembahkan anak buahnya itu.
Chelsea mengetepikan cabaran wakil Liga Kejuaraan itu 2-0 di Stamford Bridge, awal pagi tadi, yang menyaksikan Hudson-Odoi membuka tirai jaringan sebelum Ross Barkley turut menyumbangkan gol.
Dalam sidang media pra-perlawanan, pengendali The Blues itu sempat meluahkan harapan tingginya terhadap pemain sayap berusia 19 tahun berkenaan yang baru kembali daripada masalah tumit sejak dipinggirkan September lalu.
Sejak itu, Hudson-Odoi bergelut untuk mendapatkan rentak terbaik namun Lampard berpuas hati dengan mutu persembahan ketika berdepan Forest.
"Ia satu persembahan yang baik, saya gembira untuk melihat aksinya, gembira melihat dia beraksi agresif ketika memberi tekanan. Gol yang dihasilkannya itu adalah melalui rembatan yang hebat," kata Lampard.
"Dia melalui tempoh 12 bulan yang menarik memandangkan dia masih muda. Tahun lalu semua orang bercakap mengenainya atas pelbagai sebab. Dia ditimpa kecederaan yang teruk, dia kembali terlalu awal dan berdepan masalah untuk menjelmakan prestasi hebat apabila beraksi.
"Ini adalah satu langkah yang baik buatnya. Pada masa akan datang, ia akan menjadi 'bolehkah anda melakukan dengan lebih baik lagi?'
"Apabila anda seorang pemain yang memiliki kepantasan dan penyudah jitu tetapi mengalami kecederaan seperti itu, ia akan sedikit menjejaskan anda. Ada banyak tugas yang perlu dijalaninya bagi membina kekuatan -- di padang dan di gimnasium tetapi dia sedang menuju ke arah itu memandangkan dia mempunyai ketangkasan.
"Sebagai pemain yang berumur 19 tahun, dia mengalami kecederaan tetapi dia pasti akan menawarkan prestasi yang lebih baik lagi."
Danny Drinkwater kembali daripada tempoh pinjaman yang gagal di Burnley namun Lampard menjelaskan pemain tengah itu "berkemungkinan" akan terus dipinjamkan ke kelab lain.
Masa depan Olivier Giroud pula masih dalam kesamaran selepas sekadar menjadi penonton tatkala Michy Batshuayi diberi peluang untuk menerajui serangan ekoran ketiadaan Tammy Abraham yang direhatkan.
Aston Villa, Newcastle United dan Lyon dikaitkan dengan Giroud sambil pengurus berbangsa Inggeris itu tidak menolak bahawa tonggak Perancis berkenaan akan berhijrah.
"Belum ada perkembangan lanjut mengenai Oli dan jawapan saya tetap sama seperti yang dijelaskan baru-baru ini," tambahnya.
"Saya telah bercakap dengannya, jika ia adalah sesuatu yang pasti ingin dilakukan Oli dan bermanfaat untuk kelab, saya dan skuad, maka itu sesuatu yang boleh berlaku.
"Tetapi ia hanya akan berlaku apabila ketiga-tiga sebab itu dicapai. Jadi setakat ini kami masih kekal begini."
#Callum Hudson-Odoi #Chelsea #Frank Lampard #Nottingham Forest #Piala FA #Ross Barkley
;