Lambat daftar Liga Malaysia? Denda RM1.5 juta!

Astro Arena
Mac 7, 2018 20:48 MYT
Kevin Ramalingam mempertahankan jumlah denda berkenaan sambil menyifatkan ia tidak tinggi.- Astro Arena
DENDA RM1.5 juta ke atas pasukan Liga Super yang lewat dalam melakukan pendaftaran Liga Malaysia berpatutan.
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, yang mempertahankan jumlah denda berkenaan sambil menyifatkan ia tidak tinggi.
Empat pasukan terbabit, PKNS FC, Kelantan, Kuala Lumpur dan Selangor antara pasukan yang terlibat dalam denda yang dikenakan FMLLP semalam.
Jumlah itu dilihat cukup tinggi dan ramai pihak berasakan FMLLP perlu mengurangkan jumlah denda yang dianggap membebankan itu.
Bagaimanapun, Kevin berpandangan ia sudah cukup rendah berikutan setiap pasukan Liga Super bakal meraih geran tahunan sebanyak RM3j setahun.
"Kami memberikan RM3j kepada setiap pasukan dalam Liga Super dan RM1j untuk skuad Liga Perdana. Jadi, memang nampak perbezaan daripada segi itu.
"Jika tiada perbezaan pada denda yang dikenakan, ia tidak akan memberikan kesan kepada pasukan Liga Super kerana mereka telah menerima dana yang besar," kata Kevin.
Buat masa ini, hanya Selangor yang telah membuat rayuan dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan FMLLP.
Dalam perkembangan sama, Kevin menganggap hukuman pemotongan mata kepada mana-mana pasukan yang tetap gagal menjelaskan isu berkaitan pendaftaran hanya akan dilaksanakan pada permulaan musim depan.
"Macam saya katakan, kalau pada penutup liga tahun ini tiada apa-apa perlanggaran yang berlaku, maka tidak akan ada pemotongan mata liga untuk musim 2018 tetapi jika ia terjadi dalam Disember, ia mungkin menjejaskan musim hadapan.
"Ia tidak akan menjejaskan kedudukan mereka dalam liga pada tahun ini."
#bola sepak #daftar #denda #Liga Malaysia #Liga Super #Pasukan
;