Laluan sukar menanti Qi Xuan-Le Xuan di pusingan pertama BAC
Bernama
April 25, 2023 23:27 MYT
April 25, 2023 23:27 MYT
KUALA LUMPUR: Laluan sukar menanti beregu wanita profesional negara, Ng Qi Xuan-Teoh Le Xuan, apabila berdepan juara bertahan, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Dubai , Emiriah Arab Bersatu (UAE), esok.
Pertemuan tersebut merupakan kali pertama berdepan dengan pasangan nombor satu dunia dari China dan juga pilihan utama kejohanan itu.
Terdahulu, Qi Xuan-Le Xuan berjaya layak ke pusingan pertama kejohanan selepas muncul juara Kumpulan D pada peringkat pusingan kelayakan di Dewan Tertutup Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr, Dubai.
Pada perlawanan pertama, beregu negara itu hanya mengambil masa 21 minit untuk menewaskan beregu Vietrnam, Thi Phuong Hong Dinh-Pham Thi Khanh, 21-18, 21-15.
Qi Xuan-Le Xuan kemudian mengekalkan momentum pada aksi akhir kumpulan dengan mengalahkan beregu tuan rumah, Sanika Dhawan Gurav-Akansha Raj, 21-9, 21-7, dengan masa yang sama.
Empat juara kumpulan dalam peringkat kelayakan mara ke pusingan pertama kejohanan.
Sementara itu, tiga beregu campuran negara - Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie; Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing - akan memulakan kempen mereka pada pusingan pembukaan lewat hari ini.
Pilihan kelapan, Soon Huat-Shevon akan berdepan dengan pasangan dari Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin manakala Tang Jie-Ee Wei menentang pilihan ketujuh, Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan dan pasangan bukan pilihan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin menentang Kian Meng-Pei Jing.
-- BERNAMA