Laluan alternatif LTDL jika banjir

Bernama
Disember 27, 2012 22:50 MYT
Laluan alternatif akan disediakan pihak penganjur perlumbaan jelajah berbasikal berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) sekiranya berlaku banjir ketika perlumbaan tersebut diadakan.
Edisi ke-18 yang akan berlangsung mulai 21 Feb hingga 2 Mac melibatkan 10 peringkat perlumbaan dengan jarak sejauh 1,427.6 kilometer.
"Pihak kami kini sedang mengkaji beberapa laluan alternatif yang boleh digunakan untuk melancarkan perlumbaan.
"Perlumbaan ini mengikut garis panduan daripada pihak UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) di mana jika laluan masih boleh dilalui, perlumbaan diteruskan di laluan yang sama atau setidak-tidaknya menjadikannya perlumbaan 'neutral'," kata Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL Emir Abdul Jalal di Ibu pejabat LTdL Khamis.
Menurut Emir selepas banjir surut di beberapa negeri di Pantai Timur Semenanjung sekarang ini, pihak logistik LTdL akan memantau laluan sekali lagi bagi mempastikan ia selamat untuk digunakan.
Kali terakhir pihak penganjur terpaksa mengubah perlumbaan ke laluan alternatif ialah pada 31 Jan, 2011 iaitu pada peringkat kesembilan perlumbaan dari Bandaraya Melaka ke Nilai, Negeri Sembilan.
Perlumbaan sejauh 151.7 kilometer itu terpaksa dipendekkan sebanyak 18.7 kilometer dengan laluan baru berikutan banjir di beberapa laluan asal antaranya Alor Gajah, Durian Tunggal, Linggi dan Rantau.
Akibatnya, zon pecutan di Linggi dan Rantau di kilometer 83.8 dan Mantin (134.7km) dan zon pendakian di Lenggeng tidak dapat dijalankan dan hanya dua zon pecutan diadakan di Sungai Udang dan Rembau.
Dalam perkembangan lain, Emir berkata perlumbaan LTdL 2013 akan tetap dijalankan sekiranya tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) jatuh pada tarikh yang sama dengan perlumbaan.
"PRU tidak akan menjejaskan perlumbaan LTdL. Kita akan tetap melangsungkannya.
Untuk rekod, sebelum ini terdapat dua acara sukan bertaraf antarabngsa yang tetap dijalankan walaupun ketika PRU diadakan.
Kedua-dua acara sukan berkenaan ialah Perlumbaan Grand Prix Formula 1 Malaysia pada 21 Mac, 2004 di Litar Sepang dan Kejohanan Golf Terbuka Malaysia pada 8 Mac, 2008 di Kota Permai Golf and Country Club, Kota Kemuning, Selangor.
#banjir #Formula One #laluan alternatif #LTdL #Rembau #Sungai Udang
;