LaLiga: Seorang penyokong terkena serangan jantung sewaktu Barcelona tewaskan Cadiz
Astro Arena
September 11, 2022 08:15 MYT
September 11, 2022 08:15 MYT
CADIZ 0 BARCELONA 4
Perlawanan LaLiga di antara Cadiz dan Barcelona awal pagi tadi dihentikan selama 50 minit selepas seorang penyokong terpaksa diberikan rawatan segera -- dipercayai mengalami serangan jantung.
Pasukan pelawat, Barcelona, sedang mendahului 2-0 berbaki 10 minit terakhir sebelum insiden itu berlaku.
Penjaga gol Cadiz, Jeremias Ledesma, berlari melintasi padang dengan membawa kit kesihatan untuk diberikan ke tempat duduk penonton sebelum kesemua pemain keluar dari padang.
Penyokong berkenaan kemudian dikejarkan ke hospital dengan ambulans dan ketua jurulatih Barca, Xavi, berkata: "Kami semua bersetuju untuk menghentikan perlawanan.
"Perkara seperti ini melangkaui bola sepak, kita sedang bercakap mengenai nyawa seorang manusia di sini.
"Mujurlah mereka dapat menyelamatkannya."
Barca menambah dua lagi jaringan selepas perlawanan itu bersambung untuk kini menduduki tangga teratas LaLiga dengan empat kemenangan berturut-turut.
Pemain tengah Belanda, Frenkie de Jong, membuka jaringan buat Barca sebelum pemain tengah Poland, Robert Lewandowski, menggandakan jaringan itu tidak lama selepas dimasukkan dalam babak kedua.
Seorang lagi pemain gantian, Ansu Fati, kemudian menjaringkan gol ketiga pasukannya sebelum pemain kebangsaan Perancis, Ousmane Dembele, melengkapkan keputusan perlawanan itu dalam waktu kecederaan.
*Kredit foto: Football Espana