Lakaran sejarah aktres Michelle Yeoh harap jadi inspirasi atlet negara - Nicol

Bernama
Mac 14, 2023 05:30 MYT
Tiada jalan pintas untuk atlet mencapai kemuncak selain berusaha keras dalam bidang sukan masing-masing, ditambah dengan dorongan dan sokongan semua pihak. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Legenda skuasy negara, Datuk Nicol David, berharap kejayaan bersejarah Tan Sri Michelle Yeoh dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi (Oscar) ke-95, kelmarin, akan memberi inspirasi kepada atlet Malaysia merangkul Anugerah Sukan Dunia Laureus yang berprestij pada satu masa nanti.
Bekas jaguh dunia berusia 39 tahun itu, berkata atlet perlu mempunyai visi untuk menjadi yang terbaik dan berhasrat menjadi rakyat Malaysia pertama merangkul Anugerah Laureus, sebaris bintang antarabangsa seperti Roger Federer, Usain Bolt, Tiger Woods dan Serena Williams.
Nicol, bekas juara dunia sebanyak lapan kali, berkata tiada jalan pintas untuk atlet mencapai kemuncak selain berusaha keras dalam bidang sukan masing-masing, ditambah dengan dorongan dan sokongan semua pihak.
Saya pernah disenarai pendek pada 2014, tetapi bukan dalam senarai pendek terakhir. Ia adalah salah satu tahun terbaik saya tetapi malangnya, kadang-kadang ia bergantung juga pada jenis sukan.
"Kadang-kadang, pengiktirafan Anugerah Laureus diberikan kepada jenis sukan dan atlet yang lebih popular...jadi saya harap atlet Malaysia kita akan bangkit dan dikenali seperti Michelle Yeoh," katanya kepada pemberita selepas tayangan media khas dokumentari bersiri bertajuk 'Little Legends', di sini, pada Selasa.
Yeoh, 60, aktres Hollywood kelahiran Malaysia, menjadi bintang Asia pertama merangkul Oscar Pelakon Wanita Terbaik menerusi wataknya dalam filem berjudul ' Everything Everywhere All At Once'.
Beliau menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).
Sementara itu, dokumentari lima siri 'Little Lengends' itu mengisahkan inisiatif Nicol selepas persaraan yang telah memberi kesan kepada masyarakat dan kanak-kanak untuk membina nilai yang lebih kukuh dan berkembang melalui kuasa sukan.
Dokumentari itu akan disiarkan setiap hari Sabtu mulai 18 Mac di Astro Arena (Saluran 801) jam 3 petang dan Astro SuperSport (Saluran 811) pada jam 6 petang.
Bahagian pertama akan memaparkan perjalanan ratu skuasy negara itu ketika berusia lima tahun di Pulau Pinang sebelum menjadi salah satu 'gergasi' sukan itu.
"Saya sangat bertuah kerana telah mencapai impian saya semasa membesar dan sekarang saya tidak dapat mencari cara yang lebih baik daripada berkongsi semua pengetahuan yang saya peroleh daripada mentor dan jurulatih saya dengan generasi akan datang.
"Impian saya adalah untuk melihat generasi anak muda yang percaya mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka idamkan," katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang hadir pada tayangan khas itu, berharap usaha itu akan memberi inspirasi kepada generasi muda baharu untuk mengejar impian mereka dalam sukan skuasy.
"Kisah Nicol memberi inspirasi dan menaikkan semangat. Komitmen Nicol untuk bukan sahaja mencapai kehebatan sebagai pemain skuasy tetapi juga menyokong pembangunan akar umbi melalui organisasinya dengan membuka jalan kepada masa depan pemain skuasy Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#Nicol David #Tiger Woods #Hollywood #Anugerah Oscar
;