Lahir 'Magic Boy': Sudah sampai masa Muay Thai diberi tumpuan - Bernard

Bernama
Mac 25, 2024 05:45 MYT
Bernard Radin (tengah) bersama anak buahnya melakukan latihan intensif termasuk perlawanan peringkat antarabangsa sebagai persiapan menghadapi SUKMA 2024. - Foto fail/BERNAMA
IPOH: Jurulatih Muay Thai negara Bernard Radin optimis Malaysia mampu melahirkan lebih ramai jaguh Muay Thai negara seperti Mohammad Rifdean Masdor untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Beliau berkata misi melahirkan atlet berbakat seperti Rifdean tidak boleh terhenti separuh jalan malah perlu dipergiat dari semasa ke semasa.
Menurutnya sudah sampai masa untuk negara menumpukan kepada pembangunan sukan yang dilihat mampu menyerlah seperti Muay Thai dengan mengeluarkan bajet besar dan memberi fokus kepada pembangunan sukan tersebut.
"Mungkin sebelum ini atlet muda kita tidak mendapat peluang untuk beraksi dalam kejohanan berprestij iaitu ONE Championship namun apabila peluang itu muncul mereka membuktikan anak Malaysia mampu cemerlang dalam sukan Muay Thai.
"Ini era baharu arena Muay Thai negara dan terbukti rakyat Malaysia mampu mencipta nama di kejohanan besar cumanya kebanyakan yang mempunyai bakat belum ada peluang untuk menyinar dalam peringkat antarabangsa," kata Bernard ketika ditemui di Headhunter Academy Ipoh di sini pada Isnin.
Rifdean, 21, memulakan langkah sulungnya dalam ONE Championship dengan penuh bergaya apabila menumbangkan lawannya dari Thailand, Pichai Lookbanmai dalam tempoh 78 saat menerusi Technical Knockout (TKO) dalam pertarungan ONE Friday Fights 56.
Diberi nama jolokan 'Magic Boy', atlet Muay Thai kelahiran Sarawak yang mewakili kelab Sor Sommai membawa pulang bonus 350,000 baht (RM45,700) berikutan kemenangan dikecapinya di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok, Sabtu lalu.
Sementara itu Bernard berkata pihaknya berharap pembabitan lebih banyak penyumbang dan penaja termasuk syarikat korporat dalam usaha untuk memajukan sukan itu.
"Rifdean telah mempamerkan kemahiran dan keazaman tinggi dalam penampilan sulungnya dan itulah yang saya nampak pada beliau sejak mula berlatih tujuh tahun lalu.
"Hanya mereka yang terlibat dalam sukan ini akan memahami betapa besarnya pengorbanan yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap tertinggi dan beliau (Rifdean) telah membuktikannya," katanya.
Apa yang lebih membanggakan, katanya lebih banyak kelab Muay Thai berpangkalan di Thailand kini sedang mencari bakat baharu tempatan selepas mengetahui banyak atlet Thailand tumbang awal disebabkan penangan wakil negara.
Rifdean, menempa nama di pentas antarabangsa sejak remaja dan merupakan juara dunia bawah 23 tahun sebanyak tiga kali berturut-turut bermula daripada edisi 2021 di Thailand diikuti 2022 di Emiriah Arab Bersatu dan 2023 di Thailand.
Pada 2019, beliau telah merangkul kejuaraan remaja dunia di Turkiye selain turut memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Filipina pada tahun yang sama.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #Muay Thai #juara dunia #separuh jalan
;