Labur RM5 juta, Isyraf belum sedia lupakan impian bergelar pemandu F1

Astro Arena
Februari 9, 2021 07:12 MYT
Sejak mula menceburkan diri dalam sukan permotoran pada usia 7 tahun, Isyraf sudah menampakkan potensinya sebagai pemandu harapan negara. - Instagram syafx
SETELAH melabur hampir RM5 juta, pemandu harapan negara, Isyraf Danish, belum sedia untuk melupakan impian bergelar pemandu Formula Satu biarpun diasak pelbagai ujian.
Nama Isyraf Danish pernah dicanang sebagai penyambung legasi Alex Yoong untuk membawa kibaran jalur gemilang susulan prestasi cemerlangnya ketika saingan Formula Empat Asia Tenggara pada 2017.
"Selepas dua tahun tidak berlumba, apabila kembali dalam litar, pelumba perlu mendapatkan semula sentuhan," katanya.
Sejak mula menceburkan diri dalam sukan permotoran pada usia 7 tahun, Isyraf sudah menampakkan potensinya sebagai pemandu harapan negara.
Paling membanggakan, berjaya meraih sembilan podium dalam saingan perlumbaan Formula 4 Asia Tenggara 2016 ketika berumur 15 tahun.
"Saya berusaha mendapatkan penajaan tetapi ditolak. Saya akan cuba untuk mencapai sasaran untuk bergelar pelumba F1. Sokongan ibu bapa saya adalah amat penting bagi saya," katanya.
"Saya berancang untuk memasuki F3 Asia dan Serantau sebelum ke F2. Itu adalah sasaran saya. Sukan permotoran memiliki persaingan yang sangat tinggi. Guru saya sendiri tidak percaya saya berlumba dalam saingan F4 kerana menganggap saya berlumba di peringkat Go-Kart sahaja.
Pandemik COVID-19 ternyata merencatkan perancangan Isyraf untuk berkelanan ke luar negara, tatkala dia sudah hampir mengikat kontrak dengan sebuah pasukan yang berpengkalan di United Kingdom.
Setakat ini, Isyraf dan keluarga sudah pun membelanjakan hampir RM5 juta, segalanya dibuat sebagai pelaburan untuk dia mengejar impian bergelar pemandu F1.
"Situasi COVID-19 ini amat memberikan impak buat sasaran saya. Jentera serta pelumba yang dimiliki menjadi impian saya untuk bersaing dalam F1."
#COVID-19 #F1 #pelaburan #sukan #keluarga #isyraf danish #ujian #pemandu harapan negara #pemandu F1 #sukan permotoran #Formula 4 #kontrak #United Kingdom #pandemik
;