LA28: MOM sambut baik lima acara sukan baharu di Sukan Olimpik Los Angeles 2028
Bernama
Oktober 16, 2023 21:32 MYT
Oktober 16, 2023 21:32 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memuji keputusan Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menyokong penambahan lima sukan baharu dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata bahawa MOM mempunyai banyak sebab untuk berasa gembira dengan penambahan lima sukan tersebut terutamanya skuasy kerana sukan tersebut telah menjadi penyumbang pingat yang konsisten kepada kontinjen Malaysia di pelbagai temasya sukan.
"Kami akan bersandarkan sokongan yang diberikan oleh penyertaan di Olimpik untuk memacu pertumbuhan skuasy. Cabaran ini adalah untuk menjadikan skuasy sebagai acara tetap dalam Sukan Olimpik pada masa depan," katanya, dalam kenyataan, hari ini.
Selain skuasy, kriket, flag football, lacrosse dan besbol-sofbol dicadangkan oleh penganjur LA 2028 untuk disenaraikan di temasya itu dan kesemuanya mendapat kelulusan daripada IOC.
Sementara itu, Norza, berkata Persekutuan Besbol Malaysia (BFM), Persatuan kriket Malaysia (MCA) ,Persatuan Raket Skuasy Malaysia SRAM) dan Persatuan Sofbal Malaysia (SAM) telah aktif mempromosikan kemajuan sukan masing-masing di negara ini dan telah menjadi ahli gabungan MOM selama beberapa dekad.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam berkata bahawa penyenaraian skuasy di LA28 adalah langkah penting dalam mengangkat sukan tersebut ke tahap yang lebih tinggi.
"Sekarang kita perlu bersedia dengan teliti dan efektif supaya Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) dapat menganjurkan acara yang berjaya di Sukan Olimpik, sekali gus menarik perhatian negara-negara lain untuk terus berminat untuk menyenaraikan skuasy di edisi Sukan Olimpik seterusnya, misalnya di Australia," katanya.
Katanya, SRAM selepas ini akan merangka program jangka panjang sebagai persediaan menghadapi LA28 dengan harapan barisan pemain skuasy negara turut diserapkan ke dalam program 'Road To Gold (RTG) bagi membantu persediaan menghadapi temasya sukan tersebut.
Menurutnya, persatuan sukan induk itu sudah mempunyai rancangan jangka panjang untuk temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
"Oleh itu akan melakukan perkara sama untuk Sukan Olimpik dalam menyediakan barisan pemain agar tidak hanya mengambil bahagian tetapi juga mencapai kejayaan di podium," katanya.
-- BERNAMA