Kursus Kod Sukan Selamat jadi komponen Skim Pelesenan, Pensijilan Jurulatih ISN

Bernama
Julai 31, 2024 15:13 MYT
KBS memaklumkan kursus itu dilaksanakan bagi membantu semua pihak berkaitan yang terlibat dalam sukan untuk lebih memahami dan melaksanakan perkara yang termaktub di dalam Kod Sukan Selamat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Modul Kursus Kod Sukan Selamat akan dimasukkan sebagai satu daripada komponen dalam Skim Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan dan Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan kendalian Institut Sukan Negara (ISN).
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan kursus itu dilaksanakan bagi membantu semua pihak berkaitan yang terlibat dalam sukan untuk lebih memahami dan melaksanakan perkara yang termaktub di dalam Kod Sukan Selamat.
"KBS berharap pelaksanaan kod ini mendapat sokongan menyeluruh masyarakat bagi memastikan hak dan kebajikan atlet serta komuniti sukan sentiasa dilindungi serta tiada lagi insiden tidak diingini berlaku yang boleh menjejaskan pembangunan sukan secara keseluruhan," menurut kementerian itu.
KBS memaklumkan demikian dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali yang ingin tahu status terkini pemain bola sepak kebangsaan Muhammad Faisal Abdul Halim dan langkah diambil agar tragedi menimpanya tidak berulang.
Kod Sukan Selamat diperkenalkan pada Mac 2023 sebagai usaha memastikan seluruh komuniti sukan bebas daripada segala bentuk penderaan dan gangguan dalam sukan.
Kod itu antara lain menggariskan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan seluruh ekosistem sukan bagi memastikan persekitaran sukan yang selamat dan juga menyediakan mekanisme pelaporan untuk mengendalikan sebarang isu berkaitan
Mengenai perkembangan terkini Muhammad Faisal yang lebih dikenali sebagai Faisal Halim, KBS memaklumkan beliau sudah kembali mengikuti sesi latihan ringan bersama Selangor FC selain sedang menjalani sesi pemulihan mengikut jadual ditetapkan pakar perubatan.
KBS dalam jawapan berkenaan turut menyatakan harapan agar siasatan terhadap serangan ke atas pemain 26 tahun itu dapat disegerakan dan pelaku dihadapkan ke mahkamah untuk menunjukkan perkara terbabit serius dan tidak wajar berlaku dalam bidang sukan.
"Pihak kementerian (KBS) tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam penyiasatan yang dijalankan oleh pihak polis," menurut KBS.
Dalam kejadian 5 Mei lepas, Faisal Halim melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Selangor.
Pada 25 Mei, Selangor FC dalam kenyataan mengesahkan beliau dibenarkan keluar dari hospital selepas menjalani empat pembedahan.
-- BERNAMA
#Faisal Halim #Kementerian Belia dan Sukan #bola sepak #Selangor FC