Kunlavut Vitidsarn tamatkan perjalanan Zii Jia di Terbuka Jerman

Sinar Harian
Mac 12, 2022 23:04 MYT
Tampil dengan reputasi juara Seluruh England pemain berusia 24 tahun itu terlebih dulu dikejutkan dengan kekalahan 13-21 pada set pertama kepada pemain berusia 21 tahun tersebut. - Gambar fail/ Bernama
PERJALANAN pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia di Terbuka Jerman terhenti peringkat separuh akhir apabila dijinakkan bintang muda Thailand, Kunlavut Vitidsarn di Westenergie Sporthalle, Mülheim pada Sabtu.
Tampil dengan reputasi juara Seluruh England pemain berusia 24 tahun itu terlebih dulu dikejutkan dengan kekalahan 13-21 pada set pertama kepada pemain berusia 21 tahun tersebut.
Bersambung set kedua, Zii Jia memperkemaskan permainannya cuba bangkit menyaingi Kunlavut Vitidsarn, namun lawannya yang berstatus nombor 20 dunia kekal tenang meninggalkan jauh pemain nombor tujuh dunia tersebut sebelum menoktahkan kemenangan 21-12 dalam masa 41 minit.
Untuk rekod, Zii Jia mara ke pentas separuh akhir selepas menewaskan pemain dari China, Zhao Jun Peng 21-12, 21-18 dalam masa 40 minit dalam aksi suku akhir.
Sebelum mara ke suku akhir, pemain dari Kedah itu menewaskan pemain Perancis, Christo Popov, pemain ranking 62 dunia 21-13, 18-21, 21-12 dalam masa 61 minit di pusingan kedua.
Zii Jia yang tampil ke kejuaraan itu dengan status pilihan kelima sebelum ini dipaksa beraksi sehingga ke set penentuan ketika berdepan pemain 56 dunia dari Belanda, Mark Caljouw di pusingan pertama untuk kemenangan 19-21, 21-13, 21-18 dalam masa 52 minit.
Artikel asal di Sinar Harian.
#terbuka jerman #Lee Zii Jia #Separuh Akhir #Kunlavut Vitidsarn
;